RM593 Juta Bagi Perolehan Darurat Peralatan Hospital Rawat COVID-19

Kuala Lumpur: Sebanyak RM593 juta telah dibelanjakan bagi perolehan darurat peralatan tambahan hospital yang diperlukan bagi merawat kes COVID-19 sejak dua tahun lepas, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata perolehan yang dibuat pada 2020 dan tahun ini (2021) telah diagihkan mengikut keperluan ke semua fasiliti kesihatan di seluruh negara.

“Ia termasuk peralatan seperti katil pesakit biasa, katil pesakit Unit Rawatan Rapi (ICU), ventilator, ultrabunyi, body freezer, kontena mayat, silinder oksigen dan lain-lain lagi.

“Ini tidak termasuk sumbangan peralatan yang diterima dari dalam dan luar negara yang bernilai RM148 juta,” katanya menjawab soalan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) yang meminta Khairy menyatakan status kebolehupayaan alatan hospital kerajaan yang digunakan untuk merawat pesakit COVID-19.

Khairy berkata selain menambah peralatan hospital, Kementerian Kesihatan (KKM) juga menubuhkan ‘National Rapid Response Task Force’ supaya petugas kesihatan boleh dimobilisasi ke negeri-negeri yang mempunyai jangkitan kes tinggi ketika ini seperti Pulau Pinang, Kedah dan Sabah.

Menurut Khairy setakat ini seramai 223 petugas kesihatan telah dihantar ke Pulau Pinang, 156 ke Kedah dan 102 orang ke Sabah bagi memastikan kes-kes kritikal dapat ditangani dengan baik dan petugas kesihatan tidak mengalami burn out (keletihan melampau).

Menjawab soalan tambahan Abdullah Sani berkenaan sama ada KKM akan menubuhkan sebuah hospital kekal untuk merawat kes COVID-19, Khairy berkata buat masa ini KKM akan mengekalkan status hospital yang telah ditukarkan sebagai hospital penuh COVID-19 di negeri-negeri seluruh negara.

“Perancangan itu saya tak boleh sebut berapa lama, tetapi kita harap dengan penurunan kes, lebih banyak hospital hybrid yang mana sebahagian wad diambil alih (untuk rawat COVID-19) dapat dijadikan semula hospital biasa,” katanya.

Mengikut laman web covid-19.moh.gov.my, terdapat 100 hospital merawat COVID-19 di seluruh negara dengan lapan daripadanya adalah hospital penuh COVID-19 manakala selebihnya hospital hybrid.

Sementara itu Khairy berkata KKM kini sedang dalam usaha menambah pusat penilaian COVID-19 secara maya (VCAC) bagi mengurangkan kesesakan di pusat penilaian tersebut.

Beliau berkata dengan wujudnya lebih banyak VCAC, pesakit yang telah menghantar laporan keputusan COVID-19 tetapi berada pada kategori 1 atau 2 dan tidak bergejala akan menjalani kuarantin di rumah dan dipantau secara maya.

“Hanya pesakit bergejala sahaja perlu hadir untuk penilaian dan seterusnya akan dihantar sama ada ke PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19) atau ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Khairy juga berkata CAC di negeri-negeri yang mempunyai jangkitan terkawal juga telah mula beralih ke kaedah secara ‘walk in’ dan tidak memerlukan janji temu bagi mengelak kesesakan.

Selain itu, objektif CAC juga adalah untuk mengurangkan kes kematian di luar hospital (brought-in-dead) yang memerlukan pemerkasaan komuniti dengan melibatkan peranan pemimpin masyarakat yang tahu mengenai penduduk yang bergejala dan dijangkiti supaya dibawa ke CAC untuk penilaian.

Setakat ini katanya terdapat 209 CAC di seluruh negara dan jumlah ini akan berubah dari semasa ke semasa mengikut keperluan sesuatu daerah.

CAC adalah pusat bagi menilai tahap pesakit COVID-19 untuk menentukan pengurusan lanjut pesakit sama ada mereka memerlukan rawatan di rumah, dihantar ke PKRC atau hospital.

CATEGORIES
Share This

COMMENTS Wordpress (0) Disqus ( )