
Sekolah sukan untuk pelajar keperluan khas diwujudkan menjelang 2025
PUTRAJAYA,. Sebuah sekolah sukan untuk pelajar berkeperluan khas akan diwujudkan menjelang 2025, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
“KPM (Kementerian Pendidikan) dalam proses memuktamadkan infrastruktur dan jenis sukan yang bakal diperkenalkan kelak dan aspek kejurulatihan,” katanya menambah sekolah berkenaan terletak di Bandar Enstek, Negeri Sembilan.
Fadhlina berkata sekolah sukan untuk keperluan pelajar pendidikan khas merupakan komitmen KPM untuk terus memastikan sukan dibudayakan dan seiring dengan perkembangan sahsiah diri dan budaya sihat.
“Pengambilan pelajar untuk setiap kohort juga akan ditentukan mengikut jenis sukan ditawarkan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan (KPM)-Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM)-Milo 2022 di sini hari ini.
Pada majlis itu, Fadhlina menyampaikan 13 anugerah kepada atlet murid, guru dan pegawai KPM yang cemerlang dalam bidang sukan termasuk Anugerah Emas KPM yang dianugerahkan kepada pelari pecut muda negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi.
Dua atlet para renang iaitu Bryan Lau Sze Kai dari Johor dan Brenda Anellia Larry dari Sabah menerima Anugerah Pendidikan Khas, manakala Anugerah Jurulatih Cemerlang diterima oleh Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat, Perak yang terlibat dalam sukan olahraga.
Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO diperkenalkan sejak 1968 dan merupakan inisiatif untuk meraikan atlet murid dan memberi penghargaan bagi membantu perkembangan holistik murid sekolah.
–BERNAMA