Kes demam denggi turun, tiada kematian direkodkan

Kes demam denggi turun, tiada kematian direkodkan

PUTRAJAYA ,. Jumlah kes demam denggi mencatatkan penurunan sebanyak 226 kes atau 8.0 peratus kepada 2,582 kes pada Minggu Epidemiologi ke-25 (ME25) iaitu bagi tempoh 18 Jun hingga 24 Jun berbanding 2,808 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan hari ini berkata tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME25.

Bilangan lokaliti hotspot pula meningkat kepada 130 lokaliti berbanding 110 lokaliti pada Minggu Epidemiologi ke-24 (ME24), iaitu 93 lokaliti di Selangor, 22 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Kedah (enam), masing-masing tiga di Pulau Pinang dan Sabah, dan masing-masing satu lokaliti di Perlis, Negeri Sembilan dan Pahang.

“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME25 adalah sebanyak 56,721 kes berbanding 23,183 kes bagi tempoh sama 2022, iaitu peningkatan sebanyak 33,538 atau 144.7 peratus, manakala 39 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding 16 kematian bagi tempoh sama pada 2022,” katanya.

Mengenai survelan chikungunya, Dr Muhammad Radzi berkata tiada kes chikungunya direkodkan pada ME25, menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini kekal 137 kes.

Bagi survelan zika pula, sebanyak 1,461 sampel darah dan 76 sampel urin dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)