
Sektor pembinaan menguncup 6.3 peratus pada suku pertama
KUALA LUMPUR, 12 Mei — Sektor pembinaan Malaysia menguncup sebanyak 6.3 peratus pada suku pertama 2020, berjumlah RM35 bilion, berbanding bulan sama pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata semua aktiviti pembinaan perlahan dalam tempoh tersebut.
“Subsektor bangunan bukan kediaman menguncup 11.0 peratus, subsektor aktiviti pertukangan khas (8.6 peratus), subsektor bangunan kediaman (7.6 peratus) dan subsektor kejuruteraan awam (2.3 peratus) pada suku pertama 2020,” katanya dalam kenyataan.
Jabatan itu turut melaporkan bahawa pada suku pertama 2020, subsektor kejuruteraan awam kekal mendominasi sebagai penyumbang utama nilai kerja pembinaan dengan 44.9 peratus.
Bangunan bukan kediaman menyumbang 25.9 peratus, bangunan kediaman (24.1 peratus) dan aktiviti pertukangan khas (5.0 peratus).
Sektor swasta terus memacu pertumbuhan aktiviti pembinaan dengan menyumbang 54.8 peratus nilai kerja pembinaan (RM19.2 bilion) berbanding sektor awam yang menyumbang 45.2 peratus nilai kerja pembinaan (RM15.8 bilion).
— BERNAMA