
Sektor pengguna kekal berdaya tahan meskipun unjuran KDNK 2025 sederhana – MIDF Amanah
KUALA LUMPUR,. Sektor pengguna Malaysia dijangka kekal berdaya tahan pada 2025, didorong oleh aliran penggunaan berstruktur dan kebolehlihatan pendapatan yang stabil, walaupun tinjauan ekonomi makro yang lebih suram, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd.
Bank pelaburan itu menjelaskan perbelanjaan isi rumah diunjurkan kekal stabil, disokong oleh pelarasan gaji dalam sektor perkhidmatan, bantuan kerajaan yang bersasar dan kesan asas yang menggalakkan.
“Secara khusus, segmen barangan keperluan pengguna berkemungkinan mengatasi prestasi, mendapat manfaat daripada permintaan bukan budi bicara dan pendedahan terhad kepada kejutan luaran.
“Berdasarkan pendapatan boleh guna yang meningkat, guna tenaga yang stabil dan inflasi boleh urus, kami yakin penggunaan domestik akan kekal sebagai pendorong utama pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025,” tambahnya menerusi nota penyelidikan hari ini.
Mengenai unjuran KDNK Malaysia 2025, MIDF Amanah memaklumkan pihaknya telah menyemak unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2025 kepada 4.0 peratus daripada 4.6 peratus sebelum ini, mencerminkan tinjauan yang lebih berhati-hati berikutan peningkatan ketidaktentuan global.
Penurunan itu disebabkan terutama oleh prospek eksport yang lebih lemah apabila permintaan luar semakin lemah, di samping pelaksanaan tarif Amerika Syarikat (AS), yang memberi tekanan kepada sektor yang bergantung kepada perdagangan utama.
Bagaimanapun, walaupun pengeluaran perindustrian dan segmen berorientasi eksport mungkin menghadapi penyusutan, impak ekonomi yang lebih luas dijangka dapat diimbangi oleh kekukuhan permintaan domestik, tambahnya.
“Pasaran buruh kekal sihat, dengan kadar pengangguran diunjurkan pada purata 3.1 peratus tahun ini, disokong oleh pertumbuhan guna tenaga yang berterusan dan peningkatan penyertaan tenaga kerja.
“Walaupun inflasi dijangka meningkat — didorong oleh rasionalisasi subsidi, inflasi makanan, dan potensi peluasan cukai jualan dan perkhidmatan — tekanan inflasi keseluruhan berkemungkinan kekal dalam julat boleh urus, dibantu oleh harga minyak mentah yang rendah dan Indeks Harga Pengguna teras yang masih terkawal,” jelasnya.
— BERNAMA