
Sempadan negara dibuka semula 1 April ini
KUALA LUMPUR,. Sempadan negara akan dibuka semula pada 1 April ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata langkah itu selari dengan perancangan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ dan pengumuman yang paling dinanti-nantikan rakyat ini akan merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan khususnya industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
“Dengan pembukaan semula sempadan negara ini, rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah kini boleh keluar masuk negara seperti biasa serta dibenarkan untuk pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya kepada pengembara luar.
“Dalam masa yang sama, rakyat negara luar dengan dokumen perjalanan yang sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan,” katanya pada sidang media khas di Bangunan Parlimen di sini semalam.
Beliau berkata mereka hanya perlu memuat turun dan dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan Pre-Departure Form melalui fungsi ‘Traveller’ dalam aplikasi MySejahtera.
Ismail Sabri berkata individu yang telah menerima vaksinasi lengkap tidak perlu menjalani kuarantin dan hanya perlu melalui ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR dua hari sebelum berlepas serta ujian RTK-Ag (profesional) dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.
Beliau berkata ini adalah prosedur wajib dipatuhi rakyat Malaysia dan pengembara luar yang ingin masuk ke Malaysia, mengambil kira situasi penularan COVID-19 terutama gelombang Omicron yang masih melanda negara dan kebanyakan negara di seluruh dunia.
Menurutnya bagi status vaksinasi lain seperti tidak menerima vaksin atas sebab perubatan dan tidak menerima sebarang vaksinasi, perincian mengenai prosedur berkenaan akan diumumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin esok.
Ismail Sabri berkata senarai prosedur operasi standard (SOP) yang terperinci bagi prosedur di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) di darat dan laut juga akan dikeluarkan kementerian berkaitan dalam masa terdekat.
Mengenai keputusan pembukaan semula sempadan, beliau berkata ia dibuat bersandarkan kepada tiga perkara asas iaitu berpandukan sains dan fakta terkini berkaitan COVID-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara lain serta memberi keselesaan kepada pengembara dan tidak merumitkan perjalanan mereka.
— Bernama