
Semua pihak berperanan tangani impak COVID-19
KUALA LUMPUR,. Penularan novel coronavirus atau COVID-19 yang mencecah status pandemik, telah menyebabkan semua perancangan yang diusahakan individu, keluarga, organisasi dan kerajaan di serata dunia bagi 2020, kini terhenti.
Ketika virus maut yang bermula di Wuhan, China, menular kepada lebih 150 negara, menjangkiti sebanyak 183,129 orang dan meragut 7,175 nyawa di peringkat global setakat ini, kerajaan di seluruh dunia juga terpaksa melaksanakan pendekatan yang tidak dijangkakan bagi mengurangkan impaknya temasuk mengetengahkan keperluan penjarakan sosial yang dapat memperlahankan penyebarannya.
Di peringkat tempatan, kerajaan Malaysia misalnya telah bersiap untuk merancakkan ekonomi menerusi acara Tahun Melawat Malaysia 2020 selain meletakkan kedudukannya di skala global sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
Banyak acara yang dirancang sebelumnya, kini ditangguhkan apabila angka kes COVID-19 di Malaysia meningkat kepada 673 yang mana 49 berjaya pulih namun turut meragut dua nyawa, setakat ini.
Kelembapan sosioekonomi akibat impak daripada penularan virus itu juga dapat disaksikan di serata dunia.
Di Amerika Syarikat (AS) misalnya, kebimbangan mengenai kemungkinan negara itu terjerumus dalam kemelesetan akibat impak pandemik COVID-19 dan kejatuhan harga minyak mentah, menyebabkan Indeks Dow Jones susut sebanyak 13 peratus – terburuk sejak kejadian ‘Black Monday’ atau kejatuhan pasaran saham pada 1987 yang menyebabkan pihak Rizab Persekutuan AS atau Fed menurunkan kadar faedahnya kepada sifar peratus.
Di peringkat global, China masih merekodkan jumlah kes COVID-19 pada 80,881, diikuti Itali sebanyak 27,980 kes, Iran (lebih 14,000 kes) dan Sepanyol (9,942 kes).
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik pada 11 Mac lepas berikutan penularannya yang terus mengganas di sekitar wilayah dan rantau.
Pasaran Eropah juga tidak terkecuali daripada serangan virus itu dengan transaksi rentas sempadannya merosot secara ketara ketika negara itu menghadapi impaknya yang besar.
Di peringkat tempatan, indeks petunjuk utama FBM KLCI merosot sebanyak 97.20 mata pada Jumaat lepas untuk ditutup pada paras 1,344.75 iaitu paras terendahnya sejak Julai, 2010.
Asakan COVID-19 itu terus menyaksikan indeks itu menguncup ke paras 1,256.58 pada Selasa akibat tekanan jualan besar-besaran yang menjejaki pasaran serantau yang kurang memberangsangkan.
Sentimen itu turut dialami ringgit yang meneruskan penurunan pada minggu lepas untuk ditutup rendah berbanding dolar AS kepada paras 4.3480/3530 daripada 4.3030/3080, sebelum ini.
Malam tadi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari bermula 18-31 Mac, untuk membendung penularan wabak COVID-19 dalam negara.
Ketika impak daripada pengumuman itu masih sedang dinilai, sebagai sebuah negara dagangan kecil, Malaysia boleh berdepan dengan impak ekonomi yang besar.
Kerajaan telah menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonominya tahun ini dengan menurunkannya kepada antara 3.2 peratus dan 4.2 peratus daripada anggaran 4.8 sebelum ini.
Bagaimanapun ini bukan kali pertama negara atau dunia berdepan dengan kegawatan atau pandemik global seumpama ini.
Walaupun impak COVID-19 dikatakan lebih buruk berbanding krisis kewangan Asia 1997, langkah-langkah yang diambil seluruh dunia akan membantu meringankan kesan itu.
Di Malaysia, kerajaan mengumumkan bantuan tunai RM600 sebulan kepada pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji bagi tempoh maksimum enam bulan.
Langkah-langkah ini melibatkan peruntukan RM120 juta dan seramai kira-kira 33,000 pekerja dijangka mendapat manfaat daripadanya.
Muhyiddin juga berkata pekerja yang terjejas dengan gaji di bawah RM4,000 sebulan juga dibenarkan mengeluarkan wang daripada Sistem Insurans Pekerjaan (EIS).
Terdahulu, kerajaan juga mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion bagi industri yang terjejas secara langsung daripada wabak itu.
Pakej rangsangan tersebut mempunyai pendekatan serampang tiga mata – pertama, untuk memudahkan aliran tunai perniagaan yang terjejas, kedua, membantu individu yang terjejas dan ketiga merangsang permintaan terhadap perjalanan dan pelancongan.
Meskipun kerajaan melaksanakan tugasnya sama ada menerusi langkah kewangan atau dasar, rakyat Malaysia secara umumnya, perlu bekerjasama dalam membantu kerajaan membendung penularan jangkitan ini dengan mengikut arahan yang diberikan kerajaan serta profesional kesihatan dan menumpukan bagaimana untuk membina semula negara semasa dan selepas berlakunya wabak ini.
— BERNAMA.
Oleh Nurul Hanis Izmir