SYDNEY: Seorang maut manakala tiga lagi dimasukkan ke hospital susulan tiga insiden tikaman berasingan di barat Sydney pada Ahad, lapor Xinhua.Pol
SYDNEY: Seorang maut manakala tiga lagi dimasukkan ke hospital susulan tiga insiden tikaman berasingan di barat Sydney pada Ahad, lapor Xinhua.
Polis di negeri New South Wales (NSW) dalam kenyataan memaklumkan perkhidmatan kecemasan dipanggil berhubung laporan insiden tikaman di sebuah kediaman di Lethbridge Park, kira-kira 40 kilometer (km) barat pusat bandar Sydney, sejurus sebelum 2 petang waktu tempatan.
Seorang lelaki berusia 34 tahun menerima rawatan paramedik ambulans namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Seorang lagi lelaki berusia 25 tahun turut menerima rawatan akibat kesan tikaman dan dibawa ke hospital dalam keadaan stabil.
Insiden itu menyusuli dua serangan tikaman berasingan di barat Sydney pada awal pagi Ahad, menurut laporan rangkaian 9News.
Seorang lelaki berusia lingkungan 20-an dibawa ke hospital dalam keadaan serius tetapi stabil selepas ditemukan dengan beberapa kesan tikaman di dalam sebuah kenderaan di Hoxton Park, kira-kira 33km barat pusat bandar Sydney, sejurus selepas tengah malam.
Tidak lama kemudian, polis dipanggil ke sebuah rumah di St Marys, pinggir bandar bersebelahan Lethbridge Park, apabila seorang penghuni lelaki berusia 18 tahun ditemukan ditikam dalam kejadian pecah masuk.
Mangsa dibawa ke hospital dalam keadaan stabil.
Polis membuka kertas siasatan bagi ketiga-tiga insiden.
–BERNAMA-Xinhua

