
Sesi persekolahan mungkin ditangguh sehingga wabak COVID-19 pulih – Muhyiddin
PUTRAJAYA, 10 April – Semua sesi persekolahan kemungkinan akan ditangguhkan sehingga kerajaan benar-benar yakin keadaan penularan wabak COVID-19 di negara ini telah kembali pulih.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ramai ibu bapa sendiri yang mahukan penutupan sekolah dilanjutkan kerana bimbang dengan keselamatan anak masing-masing.
“Saya juga baca komen-komen ibu bapa di Facebook. Ramai yang mahu penutupan sekolah dilanjutkan lagi. Ibu bapa rata-rata bimbang tentang keselamatan anak-anak.
“Saya pun ada cucu yang bersekolah. Seperti saudara saudari saya pun bimbang juga. Semua orang sayangkan anak. Cucu lebih lagilah sayangnya. Jadi, sekolah mungkin tidak akan dibuka lebih awal,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi stesen televisyen, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, anak-anak harus meneruskan proses pembelajaran di rumah masing-masing.
Muhyiddin berkata beliau telah pun meminta Kementerian Pendidikan supaya melaksanakan inisiatif pembelajaran dari rumah atau ‘ home based learning’ sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini sehinggalah sekolah kembali dibuka.
“Walaupun keadaan di negara kita insya-Allah akan kembali pulih dengan langkah-langkah yang sedang diambil, kita mesti ingat bahawa bukan negara kita sahaja yang terkesan dengan wabak ini. Seluruh dunia terkesan termasuklah negara-negara jiran kita,” katanya.
Cuti sesi persekolahan di negara ini bermula sejak 13 Mac lalu dilanjutkan ekoran kerajaan mengisytiharkan arahan PKP bermula 18 Mac hingga 31 Mac (fasa satu) sebelum disambung kepada fasa dua bermula 1 April hingga 14 April ini.
Muhyiddin hari ini mengumumkan tempoh PKP dilanjutkan lagi sehingga 28 April untuk mengelakkan penularan kembali wabak itu selain memberi peluang kepada petugas kesihatan untuk memerangi virus kejam berkenaan.