Singapura pergiat usaha tangani jerebu rentas sempadan sebagai Pengerusi ASEAN 2027

HomeFeaturedBerita Semasa

Singapura pergiat usaha tangani jerebu rentas sempadan sebagai Pengerusi ASEAN 2027

SINGAPURA: Singapura komited memperkukuh pelaksanaan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) apabila mengambil alih jawata

PERSENDA RUKUN NEGARA: PDRM, MCMC DIMINTA SIASAT, AMBIL TINDAKAN SEGERA – AARON
Lawatan PM Anwar perkukuh kerjasama halal Malaysia dan Afrika Selatan – Mohd Na’im
Kerugian Pos Malaysia berkurangan kepada RM45.23 juta dalam suku ketiga

SINGAPURA: Singapura komited memperkukuh pelaksanaan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) apabila mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada 2027, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu.

Beliau berkata negara itu akan berusaha ke arah penubuhan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (ACCTHPC) di Indonesia bagi memperkukuh kerjasama dan penyelarasan dalam menangani kebakaran hutan dan tanah serta masalah jerebu rentas sempadan.

“Perjanjian penubuhan pusat itu hanya akan berkuat kuasa selepas enam negara anggota ASEAN meratifikasinya.

“Singapura akan menyerahkan instrumen ratifikasi bagi perjanjian penubuhan pusat berkenaan dalam beberapa hari lagi dan kami akan menggalakkan negara anggota ASEAN lain supaya mengambil langkah sama,” kata beliau pada sesi soal jawab di Parlimen pada Selasa.

Fu berkata demikian ketika menjawab soalan beberapa Ahli Parlimen mengenai langkah yang dirancang kerajaan bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan di peringkat serantau.

Sesi itu disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube Kementerian Pembangunan Digital dan Penerangan.

Menurut Fu, Singapura juga akan bekerjasama dengan negara anggota ASEAN bagi memperkukuh pelaksanaan inisiatif berkaitan di bawah sektor kerjasama ASEAN yang lain untuk menangani punca utama jerebu rentas sempadan.

Antara inisiatif itu termasuk pengurusan tanah dan kawasan tanah gambut secara mampan serta garis panduan mengenai pembakaran tanaman.

“Beberapa negara anggota ASEAN telah menyatakan hasrat untuk membangkitkan isu jerebu rentas sempadan pada mesyuarat ASEAN akan datang.

“Singapura akan menyokong perbincangan itu dan berkongsi pendekatan yang akan diambil terhadap syarikat yang bertanggungjawab menyebabkan jerebu,” kata beliau.

— BERNAMA