KUALA LUMPUR,. Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta menjalankan siasatan segera dan menyel
KUALA LUMPUR,. Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berhubung sebuah video pementasan yang mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi raja, negara Malaysia serta Rukun Negara.
Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang berkata tindakan sewajarnya perlu diambil sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang, dengan siasatan hendaklah mempertimbangkan segala peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan berkaitan termasuk Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 serta mana-mana undang-undang lain.
Beliau berkata ketegasan itu penting agar menjadi peringatan bahawa kebebasan yang dinikmati setiap rakyat datang bersama dengan tanggungjawab untuk menghormati undang-undang, institusi negara dan keharmonian masyarakat.
“Rukun Negara bukan sekadar lafaz yang dibaca dalam majlis rasmi. Rukun Negara ialah ideologi dan falsafah kebangsaan serta panduan dalam pembinaan sebuah negara yang bersatu padu.
“Perkara itu telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 dengan matlamat utama membentuk perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan di Facebook hari ini.
Sebelum ini, tular sebuah video pementasan yang dimuat naik di platform Instagram oleh pengguna The Fever Kinetic Theatre yang mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi raja, negara Malaysia serta Rukun Negara.
Aaron turut menyifatkan perbuatan dalam pementasan itu adalah tidak bertanggungjawab, keterlaluan dan tidak boleh diterima.
Beliau menegaskan kebebasan berkarya serta bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memperlekeh institusi negara, mencetuskan provokasi atau melakukan tindakan yang berpotensi menggugat keharmonian masyarakat.
“Tidak ada ruang untuk mana-mana pihak mempermainkan perkara yang menyentuh institusi raja, kedaulatan negara serta asas-asas yang membentuk kehidupan dalam negara kita.
“Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk penggiat seni, pencipta kandungan dan pengguna media sosial supaya menggunakan ruang kebebasan yang ada secara bertanggungjawab.
Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata video pementasan itu merupakan satu pelanggaran adab dan kemungkaran sosial yang merosakkan ikatan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.
Beliau berkata pihak penganjur wajar memohon maaf secara terbuka, manakala pihak berkuasa dan agensi berkaitan mesti membuat siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan undang-undang yang tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang menghina asas negara ini.
“Pentas seni sepatutnya mendidik jiwa dan menyatukan rakyat, bukan memecahbelahkan. Hentikan eksploitasi nilai murni demi populariti murahan, dan kembalilah membina negara berasaskan kebenaran, adab dan nilai moral serta keagamaan yang kukuh,” katanya.
— BERNAMA

