Singapura sahkan dua kes import positif varian Omicron

Singapura sahkan dua kes import positif varian Omicron

SINGAPURA,. Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) pada Isnin mengesahkan varian Omicron dalam dua kes import pertama COVID-19, yang pada awalnya disyaki sebagai pembawa varian itu.

Dalam kemas kini harian mengenai COVID-19 malam tadi, MOH memaklumkan pengesahan itu disusuli keputusan penjujukan genom keseluruhan untuk kes berkenaan oleh Makmal Kesihatan Awam Nasional republik itu.

“Kedua-dua pesakit sudah lengkap divaksin, dan mempunyai simptom ringan, batuk dan tekak gatal. Mereka diasingkan sebaik tiba di Singapura pada 1 Disember, dan tidak berinteraksi dengan masyarakat,” menurut kenyataan itu.

MOH pada 2 Disember mengumumkan ia mengesan dua kes import COVID-19 yang dilabel sebagai Kes 271487 dan 271598 yang positif dalam ujian awal untuk varian itu.

Kedua-dua kes itu tiba dari Johannesburg dengan menaiki penerbangan Singapore Airlines SQ479 pada 1 Disember.

Pada Ahad (5 Disember) MOH mengesan satu lagi kes import COVID-19 yang positif ujian awal untuk varian Omicron.

Kes itu berada dalam penerbangan yang sama dengan dua kes pertama.

Sehingga 5 Disember, bilangan individu lengkap vaksin atau menerima dua dos vaksin COVID-19 adalah 96 peratus daripada populasi yang layak di negara itu.

Sebanyak 87 peratus populasi negara itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan 28 peratus menerima suntikan penggalak.

Sehingga Isnin 6 Disember, Singapura melaporkan 269,873 kes COVID-19 dengan 763 kematian.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This