
SME Bank perkasa ekosistem PKS, bawa 11 syarikat ke pasaran global
KUALA LUMPUR: Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) terus memperkasakan ekosistem Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan membawa 11 syarikat tempatan ke pasaran global, merekodkan potensi jualan eksport berjumlah RM140 juta di Gulfood 2025 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.
Acara ini diiktiraf sebagai pameran perdagangan makanan dan minuman (F&B) tahunan terbesar di dunia, menandakan tahun ketiga berturut-turut SME Bank dalam membawa perniagaan tempatan untuk meneroka peluang perdagangan global.
Pemangku Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, menekankan kejayaan berterusan institusi ini dalam menyokong usahawan Malaysia.
“Sejak penyertaan pertama kami di Gulfood pada tahun 2023, SME Bank telah berjaya membawa 33 syarikat Malaysia ke pentas global, dengan mencatatkan kira-kira RM378 juta dalam potensi jualan eksport. Melalui Export Acceleration Mission (EAM), kami memperkasakan perniagaan tempatan menerusi Business Exports Programme (BEP), sebuah inisiatif di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Beliau turut menjelaskan bahawa inisiatif ini, yang dijalankan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), bertujuan untuk memperkukuh kehadiran antarabangsa usahawan kita dan membuka peluang eksport yang lebih luas.
Salah satu pencapaian penting dalam acara selama seminggu ini adalah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara World Prominence Sdn Bhd, sebuah syarikat di bawah BEP SME Bank, dan Senior Global LLC, UAE.
Selain itu, PKS Malaysia turut mempamerkan inovasi produk mereka, termasuk pelancaran Nims Cereal, Nims Choco Sauce, Nims Spread, Nims Liquid Chocolate, dan Nims Beverage Choco Drinks oleh Nims Adeliciousz Sdn Bhd.
BS Fitness Nutrition Sdn Bhd juga memperkenalkan BS Protein Cookies, memenuhi permintaan pasaran yang semakin mementingkan kesihatan.
Gulfood 2025 menyediakan platform yang dinamik untuk PKS berhubung dengan pembeli, pengedar, dan pelabur global.
Acara ini menegaskan komitmen SME Bank dalam menyokong sektor F&B Malaysia, yang merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara serta industri yang berkembang pesat berikutan permintaan global yang semakin meningkat terhadap produk halal dan berkualiti tinggi.
Di luar aspek pembiayaan, SME Bank terus menyediakan sokongan menyeluruh kepada PKS tempatan yang ingin mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa.
Ini termasuk inisiatif yang diperuntukkan dalam Belanjawan Negara 2025, seperti Program Jaguh Serantau dan Pembiayaan HalalBiz, serta usaha pembangunan berterusan menerusi
Program Pembangunan Vendor dan Program Pembangunan Keusahawanan Halal.
Sejak penubuhannya pada tahun 2005, SME Bank telah menyalurkan RM48 bilion dalam bentuk bantuan kewangan kepada hampir 25,000 usahawan.
Selain itu, menerusi pusat pembangunannya, Centre for Entrepreneur Development and Research (CEDAR), bank ini telah membantu lebih 85,000 usahawan dalam perjalanan pertumbuhan perniagaan mereka.
SME Bank kekal komited dalam memacu kejayaan global PKS Malaysia dan memperkukuh peranan mereka dalam pasaran antarabangsa.
-Agency