
Starvendors Mega Raya Fest 2025 Dirasmikan Fahmi Fadzil, Tarik Lebih 50 Selebriti Berniaga
KUALA LUMPUR – Suasana meriah di KL Base Exhibition Center, Sungai Besi, malam tadi apabila Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil merasmikan Starvendors KL Mega Raya Fest 2025.
Acara mega selama 80 jam tanpa henti itu bermula Khamis lalu dan akan melabuhkan tirainya pada hari Isnin. Dalam ucapannya, Fahmi memuji usaha penganjur dan menyatakan komitmennya untuk terus menyokong inisiatif seperti ini yang memberi manfaat kepada usahawan tempatan.
Beliau turut meluangkan masa menyusuri bazar, berbual mesra bersama peniaga dan pengunjung, serta menyaksikan persembahan istimewa daripada Aisha Retno dan Agy.
Antara yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan penggerak utama Starvendors, Ifa Raziah.
Festival kali ini tampil dengan lokasi baharu, menawarkan jualan 24 jam sehari di kawasan tertutup yang menampilkan pelbagai produk sambutan Aidilfitri. Kawasan luar pula dipenuhi aroma makanan dari gerai yang beroperasi hingga ke awal pagi.
Lebih 50 artis dan pempengaruh menyertai sebagai vendor, antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Vanidah Imran, yang turut menjual produk mereka sendiri.