Suara generasi muda : Alam sekitar bukan pilihan!

Suara generasi muda : Alam sekitar bukan pilihan!

Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Mogesh Sababathy

“Negaraku, tanah tumpahnya darahku”, begitulah bunyi dua baris pertama lagu kebangsaan Malaysia, lagu Negaraku yang begitu megah dinyanyikan sejak di bangku persekolahan lagi. Ia bukan sekadar lagu pembuka majlis tetapi identiti setiap rakyat Malaysia dan simbol rasa sayang dan cinta terhadap negara yang kaya dengan begitu banyak keistimewaan dan kekayaan sumber bumi sehingga digelar SuwarnaBhumi (Bumi Emas) oleh pengembara India atau Chersonesus Aurea (Semenanjung Emas) oleh orang Yunani.

Semangat patriotisme tidak dinafikan begitu tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia yang lebih ketara dilihat sejak penularan COVID-19, namun jarang sekali kita memikirkan tentang alam sekitar yang bukan hanya menjadi sumber oksigen, air dan makanan harian kita tetapi ‘periuk nasi’ segelintir masyarakat yang bergantung penuh pada kemampanannya seperti masyarakat Orang Asli di Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Impak penyahwartaan HSKLU

HSKLU merupakan salah satu daripada hutan simpan kekal di negeri Selangor yang telah diwartakan sekitar tahun 1920an dan mempunyai ekosistem yang sangat unik yang mana kebanyakkan daripada kawasan hutan tersebut adalah hutan paya gambut. Hutan ini menyimpan seribu satu khazanah alam yang telah wujud beribu tahun lamanya dan juga telah diduduki oleh masyarakat Orang Asli Temuan sejak lebih daripada 150 tahun lagi.

Hutan ini boleh dianggap sebagai nadi kehidupan masyarakat ini sehingga menjadi tempat kebergantungan mereka untuk menjalankan aktiviti ekonomi, budaya dan sosial harian demi kelangsungan hidup mereka. Sejak tergempar berita mengenai penyahwartaan hutan ini, masyarakat Orang Asli Temuan berasa terancam dan seolah-olah tidak mempunyai hak ke atas tempat tinggal dan sumber pendapatan mereka sendiri. Bukan itu sahaja, berita penyahwartaan hutan paya gambut ini turut ditentang oleh sebilangan besar daripada rakyat Malaysia termasuk gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU) yang terdiri daripada beberapa organisasi-organisasi tempatan dan aktivis alam sekitar. Hal ini kerana hutan itu juga mempunyai pelbagai kepentingan lain yang langsung tidak boleh dinafikan dan sepatutnya sudah mempunyai bukti dan justifikasi yang lebih daripada mencukupi untuk membatalkan agenda Kerajaan Negeri Selangor itu.

Ekosistem penting

Antara sebab utama bantahan cadangan penyahwartaan HSKLU termasuklah untuk memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup manusia sejagat dan alam sekitar dapat dipelihara supaya dapat mengekalkan kemampanan dan kelestarian biodiversiti global. HSKLU adalah sebuah kawasan tanah bencah yang mempunyai sifat ekologi yang sangat dinamik. Kawasan ini sentiasa dibanjiri air dengan persekitarannya yang mana mengalami perubahan saliniti dan kelembutan sedimen secara berterusan di samping mempunyai kandungan oksigen yang rendah.

Ia juga merupakan sebuah kawasan yang kaya dengan tumbuh-tumbuhan yang mempunyai keupayaan untuk mengawal aliran air, penstabilan struktur tanah bagi menghalang daripada berlakunya banjir, dan boleh membekal sumber air yang bersih.

Kawasan tanah bencah terbukti membawa pelbagai kebaikan kepada manusia dan juga alam sekitar dalam bentuk ‘perkhidmatan ekosistem’ dari segi pembekalan sumber makanan, air dan udara yang bersih, melindungi ekosistem dan biodiversiti, memelihara identiti kebudayaan serta menjadi sumber ekonomi yang kukuh terutama kepada komuniti yang tinggal berdekatan atau di kawasan tanah bencah itu sendiri yang bergantung sepenuhnya pada hasil hutan seperti komuniti Orang Asli.

Selain meningkatkan kualiti hidup manusia, kawasan hutan di tanah bencah juga berupaya untuk mengatur kualiti persekitarannya dengan sendiri sehingga mampu mengurangkan kesan perubahan iklim secara signifikan.

Sebagai contoh, tanah bencah terkenal dengan kedudukannya dalam kitaran karbon di mana ia berfungsi untuk mengawal tahap gas berbahaya seperti karbon dioksida, metana dan hidrogen sulfida dengan menyerap atau memerangkapnya di dalam tanah atau juga dikenali sebagai ‘kolam karbon’. Hal ini yang menjadi sebab utama ekosistem tanah bencah turut dikenali sebagai penyekat dan pembebas karbon kerana mengandungi kandungan karbon yang terkumpul sejak ribuan tahun dahulu.

Penghapusan hutan ini akan menyebabkan penguraian atau pengoksidaan bahan organik dan berlakunya perlepasan karbon yang terkumpul ini ke atmosfera.

Ekosistem tanah bencah turut terkenal dengan kepelbagaian flora dan fauna yang menjadi habitat serta pusat migrasi dan pembiakan pelbagai spesis yang menjadikan Malaysia sebagai salah satu daripada 17 buah negara yang diklasifikasikan sebagai negara mega kepelbagaian biodiversiti di dunia.

Di samping itu, tanah bencah juga terkenal dengan nilai estetika yang luar biasa dan sering dikaitkan dengan elemen ketenangan jiwa dan emosi sehingga dijadikan pusat tarikan pelancong kerana pemandangan dan persekitaran semula jadi di kawasan ini yang begitu aman dan indah sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui “industri eko-pelancongan”.

Seruan anak Malaysia

Ternyata bahawa penyahwartaan HSKLU membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada alam sekitar mahupun manusia sejagat. Saya berasa terpanggil dan tercabar hak saya bukan hanya sebagai seorang aktivis alam sekitar tetapi sebagai anak Malaysia supaya dapat melindungi kepelbagaian biologi flora dan fauna yang ada di negara ini, mendapat sumber air dan udara yang bersih serta sumber makanan yang berkualiti dan berkhasiat secara berterusan untuk kelangsungan hidup saya, keluarga saya, dan seluruh rakyat Malaysia.

Memetik kata-kata ahli sejarah dunia, George Santayana, “mereka yang tidak belajar dari sejarah pasti akan mengulanginya”. Dahulu kita diperdaya, diperlekeh dan dipijak oleh para penjajah luar sehingga dieksploitasi segala kekayaan bumi Malaysia, dan kini kita seolah-olah menjajah negara kita sendiri.

Dengan ini saya duduk sama rendah, berdiri sama tinggi bersama seluruh rakyat Malaysia termasuk gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU) dan komuniti Orang Asli Temuan membantah dan menolak sekeras-kerasnya cadangan penyahwartaan Hutan Simpan Kekal (HSK) bagi Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

— BERNAMA

Mogesh Sababathy merupakan Finalis Anugerah Belia Komanwel 2021 dan Pengasas Bersama Projek Ocean Hope & Graduan Biologi Marin (Universiti Malaysia Terengganu)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )