Sukan Asia: MAKAF sandar emas pada enam atlet

Sukan Asia: MAKAF sandar emas pada enam atlet

MELAKA,. Enam atlet karate negara telah mengesahkan tempat mereka untuk bersaing dalam Sukan Asia yang bakal berlangsung di Hangzhou, China pada Oktober depan.

Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) Datuk Nur Azmi Ahmad berkata pemilihan tersebut berdasarkan persembahan mereka sebelum ini termasuk pada Kejohanan Karate Asia 2023 yang sedang berlangsung di Melaka.

“Kita telah memilih Mohammad Arif Afifuddin, H. Sankar Sureeya, S. Prem Kumar dan R. Shamendran bagi lelaki manakala kategori wanita, kita sandarkan kepada C. Shahmalarani dan P. Madhuri. Mereka akan bertanding dalam acara individu Kumite.

“Kita sasarkan sebutir emas pada pertandingan tersebut namun melalui siapa dan kategori apa, kita akan lihat kemudian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sewaktu Kejohanan Karate Asia 2023 yang berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini semalam.

Katanya sebagai persiapan, keenam-enam atlet tersebut akan mengharungi tiga kejohanan yang akan berlangsung di Tunisia, Maghribi dan sebuah negara di Eropah.

“Kita ada dua bulan lagi sebagai persiapan dan kejohanan tersebut adalah antara persediaan dan pendedahan yang boleh kita berikan kepada atlet ini.

“Dalam tempoh itu juga berkemungkinan ada perubahan dari segi kategori memandangkan kita akan tengok kesesuaian atlet pada kejohanan tersebut,” katanya.

Mengulas mengenai pencapaian kontinjen negara yang setakat ini gagal menyinar pada Kejohanan Karate Asia edisi ke-19, Nur Azmi mengakui agak kecewa memandangkan mereka ‘bertempur’ di laman sendiri.

“Bagaimanapun kejayaan meraih dua pingat gangsa juga satu pencapaian dan kita harap sesuatu yang lebih positif pada aksi berpasukan esok,” katanya.

Kejohanan Karate Asia 2023 berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat dengan 388 atlet daripada 32 negara bertanding.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)