Tanah Rizab Melayu Hampir 5 Juta Hektar Sehingga Jun 2024

Tanah Rizab Melayu Hampir 5 Juta Hektar Sehingga Jun 2024

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Keluasan keseluruhan Tanah Rizab Melayu (TRM) di Semenanjung Malaysia kini mencapai 4,955,870.89 hektar setakat 30 Jun 2024, menurut Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii.

Jumlah ini menunjukkan peningkatan 2,533,150.8 hektar atau 104.55 peratus berbanding keluasan yang direkodkan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) pada tahun 1947, iaitu 2,422,720 hektar.

Namun, angka ini tidak merangkumi negeri Pulau Pinang dan Melaka, kerana kedua-duanya tidak mempunyai enakmen berkaitan Tanah Rizab Melayu.

TRM Di Bawah Bidang Kuasa Negeri
Menurut Huang, pengurusan TRM sepenuhnya berada di bawah kuasa kerajaan negeri. Walaupun begitu, perkara berkaitan sentiasa menjadi agenda dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN), yang berperanan dalam rundingan dasar tanah antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

Penjelasan ini diberikan sebagai jawapan kepada soalan yang dikemukakan oleh Young Syefura Othman (PH-Bentong) di Dewan Rakyat berhubung usaha kerajaan dalam mengekalkan keluasan TRM serta mekanisme penyelesaian isu berkaitannya.

Langkah Memantapkan Pemantauan dan Pengurusan TRM
Bagi memastikan TRM diurus dengan lebih sistematik dan telus, Huang memaklumkan bahawa Mesyuarat MTN ke-69 telah memutuskan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sebagai penyelaras dalam pengumpulan data TRM.

“Kami telah menjalankan beberapa sesi libat urus bersama pentadbiran tanah negeri dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) untuk memastikan data TRM lebih tepat dan komprehensif,” katanya.

Maklumat yang diperoleh ini akan dimanfaatkan dalam pembangunan sistem pangkalan data berpusat, yang bertujuan untuk menjadi rujukan utama dalam perancangan pembangunan dan pelaksanaan dasar berkaitan TRM di masa hadapan.

gerbangpost.com

CATEGORIES
Share This