GEORGE TOWN,. Kawasan cerun di Taman Seri Permai, Paya Terubong yang runtuh semalam sehingga mengorbankan seorang doktor tidak menunjukkan tanda-tanda
GEORGE TOWN,. Kawasan cerun di Taman Seri Permai, Paya Terubong yang runtuh semalam sehingga mengorbankan seorang doktor tidak menunjukkan tanda-tanda berisiko runtuh semula selepas hujan berhenti, malam tadi.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk A. Rajendran berkata namun, pemantauan rapi masih perlu dilakukan berikutan hujan berterusan boleh melemahkan struktur tanah dan meningkatkan risiko kejadian berulang di kawasan itu.
“Pihak pemaju mengalihkan paip air ke lokasi lebih selamat kerana air dari bukit sebelum ini tidak disalurkan melalui saluran yang sepatutnya dan memasuki kawasan berhampiran tapak.
“Setakat ini, cerun berkenaan tidak menunjukkan tanda-tanda kelemahan, tetapi kita masih perlu berhati-hati kerana hujan berterusan boleh menyebabkan keadaan cerun menjadi lebih lemah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 11 Tahun 2026 MBPP di Dewan Bandaran, di sini hari ini.
Kejadian tanah runtuh pada 8.36 pagi semalam mengorbankan Dr Wong Kar Lin, 73, selepas tertimbus akibat tanah runtuh yang menjejaskan rumahnya, manakala isterinya Chang Mei Nuo, 68, dan ibu mentuanya Wong Poh Lim, 80-an, berjaya menyelamatkan diri.
Rajendran berkata MBPP juga telah mengarahkan pemaju projek di situ melaksanakan kerja-kerja mitigasi bagi meningkatkan tahap keselamatan di tapak itu dan jurutera MBPP turut menjalankan pemeriksaan tapak bersama dengan perunding bagi memastikan keselamatan cerun, khususnya ketika hujan berterusan.
Beliau berkata siasatan berhubung kejadian itu akan dijalankan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bersama-sama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan tempoh siasatan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan, bergantung pada keadaan dan hasil pemeriksaan.
Mengulas dakwaan penduduk bahawa mereka pernah membuat aduan tentang cerun itu kepada MBPP, beliau berkata pihaknya mempunyai kumpulan WhatsApp bersama dengan penduduk bagi membolehkan aduan disampaikan kepada pemaju untuk tindakan segera.
Setakat ini, katanya, pihak pemaju mematuhi arahan serta nasihat yang diberi sementara MBPP telah mengeluarkan surat peringatan kepada pemaju dan kontraktor sejak September lepas supaya meningkatkan langkah keselamatan di tapak pembinaan sebagai persediaan menghadapi tempoh peralihan Monsun Timur Laut.
Rajendran berkata keadaan cuaca pada Oktober yang lazimnya menyaksikan hujan berpanjangan meningkatkan risiko kegagalan cerun apabila air meresap ke dalam tanah dan melemahkan strukturnya.
“Bagi kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah semalam yang menyebabkan dua kereta terjejas, insiden itu bukan berpunca daripada kerja pembinaan, sebaliknya melibatkan cerun lama yang mengalami kerosakan,” katanya.
— BERNAMA

