Tanah Runtuh di Miri: Pakar Akan Dikerah Jika Diperlukan – Uggah

Tanah Runtuh di Miri: Pakar Akan Dikerah Jika Diperlukan – Uggah

KUCHING, 29 Jan 2025 – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak bersedia mendapatkan bantuan pakar dari Kuala Lumpur bagi membantu usaha mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh di Miri yang berlaku awal pagi tadi.

Pengerusi JPBN, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang juga Timbalan Premier Sarawak, bagaimanapun menjelaskan bahawa bantuan kepakaran hanya akan dipanggil sekiranya keadaan memerlukan.

“Ketika ini, operasi mencari dan menyelamat masih berjalan, dan kami sedang menilai situasi. Jika didapati perlu, kita akan mendapatkan bantuan pakar dari Kuala Lumpur,” katanya kepada media selepas menghadiri Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Sarawak hari ini.

Dua Mangsa Ditemui Meninggal Dunia, Tiga Lagi Masih Hilang
Tragedi tanah runtuh yang berlaku sekitar jam 2.45 pagi tadi telah mengorbankan dua nyawa, termasuk seorang remaja lelaki berusia 17 tahun. Sehingga kini, tiga lagi mangsa masih belum ditemukan.

Kejadian ini melibatkan dua buah rumah di Kampung Lereng Bukit, yang terletak di lereng Bukit Kanada, Miri.

15 PPS Dibuka, Penduduk Diminta Berjaga-jaga
Sementara itu, Uggah turut memaklumkan bahawa 15 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka setakat ini, menempatkan mangsa banjir di Kuching, Serian, dan Samarahan, manakala PPS di Miri menempatkan mangsa tanah runtuh.

“Semua pasukan penyelamat di peringkat bahagian dan daerah berada dalam keadaan siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir agar sentiasa bersedia dan segera berpindah apabila diarahkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Menurutnya, JPBN bersama agensi berkaitan kini sedang bekerjasama memastikan proses pemindahan mangsa berjalan lancar.

gerbangpost.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )