KUALA LUMPUR,. Kerajaan melanjutkan dan menambah baik galakan cukai bagi sektor teknologi hijau sehingga 31 Dis, 2030 bagi menggalakkan lebih banyak s
KUALA LUMPUR,. Kerajaan melanjutkan dan menambah baik galakan cukai bagi sektor teknologi hijau sehingga 31 Dis, 2030 bagi menggalakkan lebih banyak syarikat melabur dalam teknologi hijau dan lestari, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata galakan itu meliputi syarikat yang melaksanakan projek teknologi hijau, mengendalikan stesen pengecasan kenderaan elektrik serta membeli aset teknologi hijau untuk kegunaan sendiri, yang layak menikmati Elaun Cukai Pelaburan sehingga 100 peratus.
Beliau berkata agenda peralihan tenaga perlu dipergiat bagi menjamin bekalan tenaga negara dalam jangka panjang, termasuk menerusi pelaburan dalam tenaga boleh baharu.
“Tenaga Nasional Bhd melabur RM15 bilion untuk memperkukuh grid nasional, manakala UEM Lestra melabur RM1 bilion, termasuk bagi melaksanakan projek penyimpanan tenaga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan projek tenaga hibrid berkapasiti satu gigawatt di Johor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar turut memaklumkan bahawa Dana Iklim Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) berjumlah RM1 bilion dimanfaatkan untuk membiayai projek hijau, termasuk projek tenaga boleh baharu dan penyahkarbonan.
Sementara itu, beliau berkata cuaca panas yang meningkatkan penggunaan elektrik isi rumah mendorong pelaksanaan inisiatif NUR MADANI, yang menawarkan rebat sehingga RM200 kepada pembeli penyaman udara dan peti sejuk cekap tenaga.
— BERNAMA

