
Terima Kecaman Ramai, TFC Batal Perjanjian Tajaan Dengan XFOX
KUALA LUMPUR – Selepas dikecam kerana menerima tajaan sebuah syarikat kontroversi, XFOX Market Holdings Sdn Bhd, Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFC) akhirnya bertindak membatalkan perjanjian tajaan, atas persetujuan bersama.
Jurucakap TFC berkata, pasukan berkenaan diselubungi suasana ‘kurang sihat’ sebaik sahaja berita perjanjian tajaan itu tular di media sosial.
Menurut beliau, senario itu sedikit sebanyak menjejaskan keharmonian kelab.
“TFC bersedia untuk bekerjasama dengan pihak XFOX setelah melihat dan menyaksikan sendiri operasi perjalanan syarikat khususnya XFOX Arena di Subang Bestari yang menyediakan Padang Bolasepak Sintetik.
“Ia dilihat bersesuaian dengan perjalanan Terengganu FC sebagai sebuah kelab bolasepak. Bagaimanapun, kerjasama ini dipandang dari sudut yang berbeza oleh pelbagai pihak,” katanya.
Jelas jurucakap itu, pengurusan kelab demi keharmonian bersama dan mengambil kira suara penyokong yang merupakan tulang belakang pasukan telah melakukan perbincangan dengan pihak XFOX untuk mencari penyelesaian terbaik.
“Pembubaran perjanjian penajaan ini lebih kepada melihat aspek keharmonian kelab untuk mengharungi pelbagai lagi cabaran mendatang.
“Pihak Terengganu FC juga akan memulangkan kembali bayaran penajaan pihak syarikat penaja sebanyak RM1.5 juta yang telah selesai dilunaskan,” katanya.
Getaran hari ini melaporkan kenyataan Perunding Kewangan Syariah, Dr Abdul Rahman A Syukor yang terkejut apabila mendapat tahu TFC menerima tajaan XFOX.
Katanya, XFOX membuka dana pelaburan dan menerima dana daripada orang ramai, yang jelas menyalahi undang-undang kerana syarikat terbabit tidak mempunyai lesen di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti (SC).
“Pada 14 Jun 2023, BNM telah senaraikan XFOX di dalam Senarai Amaran Pengguna Kewangan. Kebiasaannya apabila sebuah syarikat disenaraikan dalam senarai ini, ia menunjukkan syarikat itu mempunyai masalah dari segi undang-undang,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap TFC berkata, pasukan itu akan terus berusaha untuk mendapatkan penaja bagi AFF Shopee Cup 2024.
“Semoga dengan keputusan ini (membatalkan perjanjian penajaan) akan memberikan keharmonian buat Terengganu FC, XFOX Market Holdings Sdn Bhd dan semua penyokong kelab,” katanya.
– Getaran, 11 Jun 2024