Thailand bakal memperketatkan kembali peraturan ganja

Thailand bakal memperketatkan kembali peraturan ganja

BANGKOK,. Tiga tahun selepas pengesahan ganja secara meluas di Thailand, kerajaan kini merancang untuk mengetatkan semula peraturan dan mengklasifikasikan semula ganja sebagai dadah narkotik, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Akhbar Bangkok Post memetik dekri oleh Menteri Kesihatan Somsak Thepsuthin melaporkan pada Khamis, preskripsi doktor akan diwajibkan untuk membeli ganja dan produk berasaskan ganja pada masa akan datang.

Selain itu, sesiapa yang ingin menjual atau memproses ganja juga perlu mendapatkan lesen yang sesuai dan melaporkan asal-usul serta kuantiti ganja yang dimiliki.

Dekri menteri itu akan berkuat kuasa sebaik sahaja ia diterbitkan dalam warta rasmi. Laporan media menyebut ia dijangka berlaku dalam beberapa hari lagi.

Thailand menjadi negara pertama di Asia yang menghalalkan ganja pada Jun 2022.

Sejak itu, negara itu dianggap sebagai destinasi baharu pengguna ganja dari seluruh dunia.

Kini terdapat sekitar 18,000 kedai berlesen dan industri ini telah berkembang menjadi sektor besar terutamanya di kawasan pelancongan seperti Phuket dan Pattaya.

Kerajaan sebelum ini menyasarkan untuk merangsang ekonomi yang terjejas akibat pandemik melalui penanaman berlesen.

Secara rasmi, ganja hanya diluluskan untuk kegunaan perubatan dan industri.

Bagaimanapun, sejak ia dikeluarkan daripada senarai dadah terlarang, penggunaannya untuk rekreasi tidak lagi dilarang bagi individu berusia lebih 20 tahun.

Panduan ganja untuk pelancong turut diterbitkan bagi membantu peminat ganja mematuhi peraturan.

Menurut Lembaga Kawalan Narkotik Thailand, bilangan penagih ganja meningkat dengan ketara sejak penyahjenayahan itu, selain peningkatan penggunaan ganja untuk rekreasi dalam kalangan golongan muda.

Aktivis ganja merancang untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran pada 7 Julai di hadapan ibu pejabat Kementerian Kesihatan di Bangkok.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This