Thailand disyor beri vaksin COVID-19 kepada remaja 12-18 tahun yang alami masalah kesihatan

Thailand disyor beri vaksin COVID-19 kepada remaja 12-18 tahun yang alami masalah kesihatan

BANGKOK,. Pihak berkuasa kesihatan Thailand mencadangkan suntikan vaksin COVID-19 diberikan kepada mereka berusia 12 hingga 18 tahun yang mengalami satu daripada tujuh masalah kesihatan yang disenaraikan, disebabkan peningkatan jangkitan terhadap golongan ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan Dr. Suwanchai Wattanayingcharoenchai ketika menyuarakan cadangan itu berkata sebanyak 7,787 kes COVID-19 dilaporkan melibatkan kumpulan umur itu pada minggu pertama Ogos.

Beliau berkata pada minggu kedua jumlah jangkitan meningkat kepada 8,733 orang.

“Sebanyak 41,832 orang berusia antara 12 dan 18 tahun atau 0.8 peratus disahkan positif COVID-19 sejak 1 April hingga 14 Ogos. Lapan kematian dilaporkan membabitkan mereka yang menghidap penyakit kronik termasuk cerebral palsy, kanser dan penyakit jantung,” katanya dipetik Bangkok Post.

Dr Suwanchai berkata, Royal College of Paediatricians turut menasihatkan mereka berumur 12 tahun ke atas di kawasan ‘zon merah gelap’ untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Terutama mereka yang mengalami obesiti, penyakit pernafasan kronik, penyakit buah pinggang kronik, penyakit arteri dan jantung, strok, kanser dan diabetes,” katanya.

Ibu bapa dan penjaga juga digesa menghubungi hospital untuk mendapatkan vaksin mRNA untuk anak mereka.

Thailand mencatat 312 kematian baharu, tertinggi dalam tempoh 24 jam menjadikan angka korban akibat COVID-19 di negara ini meningkat kepada 8,285 orang. Angka korban itu adalah yang tertinggi setakat ini berbanding 239 dicatatkan pada Isnin.

Sementara itu 20,515 lagi kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 968,957 sejak pandemik dikesan Januari tahun lalu.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata kematian baharu itu melibatkan 174 lelaki dan 138 wanita berusia antara 28 hingga 102 tahun, termasuk lima warga Myanmar, seorang warga Kemboja dan seorang Britain.

Beliau berkata jumlah korban tertinggi COVID-19 itu adalah hasil pengumpulan data daripada beberapa wilayah kerana proses itu mengambil masa “dua hingga tiga hari”.

Bandar raya Bangkok, pusat pandemik terbaharu mencatatkan 4,154 kes baharu dan 78 kematian dalam tempoh 24 jam, katanya.

“Kadar jangkitan adalah 13.96 peratus di Bangkok. Angka kematian di Bangkok telah menurun, mungkin disebabkan oleh peningkatan kadar vaksinasi dalam kalangan mereka yang berisiko tinggi,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )