Tiada aduan kenaikan harga barang di Johor ketika musim tengkujuh

Tiada aduan kenaikan harga barang di Johor ketika musim tengkujuh

JOHOR BAHRU,. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor tidak menerima sebarang aduan berhubung kenaikan harga barang pada musim tengkujuh ketika ini.

Pengarahnya Mohd Hairul Anuar Bohro berkata semua barang keperluan didapati mencukupi di kawasan terjejas banjir dan pihaknya melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan barang keperluan mencukupi dan harga terkawal.

“Setakat ini tiada (aduan), kita memang melakukan pemantauan dan pergi ke pusat-pusat pemindahan sementara untuk pastikan barang cukup dan terkawal di kawasan yang terjejas.

“Pegawai kita juga akan terus membuat rondaan sepanjang musim tengkujuh ini,” katanya yang ditemui pemberita pada majlis pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas (SHMMP) 2019 peringkat negeri Johor yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Dr S.Ramakrishnan.

Sementara itu, Ramakrishnan berkata tempoh SHMMP Krismas yang dipanjangkan kepada 10 hari bertujuan membantu mengurangkan bebanan masyarakat dalam menghadapi isu kos sara hidup tinggi khususnya ketika musim perayaan.

“Tempoh kawalan harga barangan yang dipilih bermula hari ini selama10 hari…tiga hari sebelum krismas, sehari hari pada hari perayaan dan enam hari selepas berbanding tahun lalu lima hari …kerana kita ingin bantu pembeli dalam menangani kos sara hidup yang tinggi dan dalam masa sama tidak membebankan penjual,” katanya.

Ramakrishnan berkata peniaga diwajibkan menjual barangan terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan, selain meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi membezakannya dengan barangan lain.

Katanya kegagalan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan membolehkan mereka didakwa mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 di mana kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum bagi individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

Manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000.

“Peniaga yang gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal boleh didenda sehingga RM10,000 di mahkamah atau kompaun sehingga RM5,000 bagi individu dan denda RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000 bagi syarikat,” katanya.

Ramakrishnan berkata orang ramai boleh membuat aduan jika mendapati peniaga tidak mematuhi undang-undang menerusi talian 03-80008000 di Malaysia Government Call Centre (MYGCC), talian bebas tol Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik (PIGOS) di 03-88826245/6088 atau lapor ke mana-mana pejabat cawangan daerah KPDNHEP di seluruh negara.

Sementara itu, di KUALA TERENGGANU, KPDNHEP negeri merekodkan sebanyak 34 kes pelbagai kesalahan melibatkan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dari Januari tahun ini sehingga hari ini.

Pengarahnya Saharuddin Mohd Kia berkata daripada jumlah tersebut sebanyak 13 kertas siasatan telah dibuka manakala 20 lagi telah dikenakan notis pematuhan.

“Jumlah kesalahan itu dikesan berdasarkan 43,304 pemeriksaan ke atas 8,786 premis melibatkan empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun dan Besut.

“Antara kesalahan yang dikesan adalah menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum dan gagal mempamerkan tanda harga merah jambu pada barang kawalan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran SHMMP 2019 peringkat negeri.

Katanya sepanjang tempoh SHMMP, sebanyak 110 pegawai penguat kuasa dan 60 pegawai pemantauan harga akan sentiasa berada di lokasi tumpuan ramai di negeri ini bagi menjalankan pemantauan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS Wordpress (0) Disqus ( )