TNB mahu perluas portfolio tenaga boleh baharu di Asia Pasifik dan Eropah

TNB mahu perluas portfolio tenaga boleh baharu di Asia Pasifik dan Eropah

KUALA LUMPUR,. Tenaga Nasional Bhd (TNB) berhasrat memperluas portfolio dalam tenaga boleh baharu (TBB) di pasaran antarabangsa sedia ada seperti di United Kingdom (UK) serta seluruh Asia Pasifik dan Eropah.

Ketua Pegawai Tenaga Baharu TNB Mohd Zarihi Mohd Hashim berkata perluasan portfolio tersebut akan dilaksanakan melalui usaha penubuhan dan peningkatan kepakaran dalam pembangunan aset meliputi tenaga solar dan angin sama ada di darat atau di laut yang disokong oleh penyimpanan utiliti.

Katanya, salah satu pemacu utama kepada strategi penerokaan adalah melalui kerjasama strategik untuk meningkatkan kadar penembusan pasaran dan pembangunan keupayaan atau kompetensi untuk memberikan kecemerlangan operasi.

“Di TNB, kami juga percaya kepada kolaboratif, baik di dalam atau di luar negara yang penting untuk memupuk inovasi dan bagi melaksanakan kejayaan peralihan tenaga.

“Justeru, kami akan meneruskan penerokaan pasaran-pasaran baharu melibatkan kawasan Eropah dan Asia Pasifik,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Ruang Bicara: ‘Tenaga Boleh Baharu Tunjang Peralihan Tenaga’ terbitan Bernama TV pada Selasa.

Menjelaskan selanjutnya, Mohd Zarihi berkata usaha penerokaan pasaran di Eropah akan dilaksanakan menerusi anak syarikat milikan penuh TNB iaitu Vantage RE Ltd di UK yang bakal menjadi pusat tumpuan operasi dalam penerokaan aset-aset penjanaan TBB di UK dan Eropah.

“Selain itu, TNB juga giat meneroka di pasaran Asia Tenggara yang mana kami telah mempunyai beberapa rakan stratgeik di Vietnam, Laos dan Thailand untuk mengembangkan lagi kerjasama di peringkat Asean dalam rentas sempadan untuk Malaysia menjadi hab tenaga hijau di rantau ini,” katanya.

Malah, beliau turut berkongsi rasa optimis bahawa pelabur kini mempunyai keyakinan untuk melabur dalam industri TBB selaras dengan aspirasi kerajaan yang menyediakan dasar, panduan serta pembiayaan yang jelas untuk pelaburan teknologi baharu.

Pada masa ini, Malaysia dan Asean berminat untuk memperoleh manfaat menerusi perdagangan rentas sempadan seperti rakan di Eropah yang mana kerjasama berkaitan telah mencapai anggaran EUR34 bilion dalam pengukuhan pasaran rentas sempadan di kesatuan itu.

“Sudah ada kefahaman bersama dalam kalangan negara-negara Asean mengenai betapa kritikalnya kepentingan peralihan tenaga. Ini telah membantu mendorong rantau Asean mempercepatkan program kesalinghubungan yang lama tertangguh,” katanya.

Menyentuh mengenai peruntukan perbelanjaan modal serta pelaburan tinggi dalam peralihan tenaga ini, Mohd Zarihi berkata TNB terus meningkatkan perbelanjaan modal dan pelaburan bagi memastikan infrastruktur elektrik sedia ada untuk masa depan dan membolehkan negara mencapai kelestarian tenaga seiring dengan sasaran yang ditetapkan.

Beliau berkata, mengikut cadangan pelan pelaburan RM22 bilion bagi tempoh 2022 hingga 2024 yang berlandaskan kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), TNB mahu terus membangunkan grid masa depan sebagai pemboleh utama peralihan menerusi kesambungan rantaian nilai keseluruhan bermula daripada penjanaan sehingga aspek penyaluran ke premis pengguna.

“Oleh itu, TNB memerlukan perbelanjaan modal (capex) kira-kira RM450 bilion bagi tempoh sama dalam meneruskan agenda Peralihan Tenaga untuk Malaysia. Ini satu pelaburan yang amat besar,” katanya.

Dalam pada itu, TNB juga berhasrat merekodkan lebih daripada 14 gigawatt (GW) kapasiti TBB menjelang 2050 yang akan mengurangkan kira-kira 6.9 juta Tco2/MWh (megawatt-jam) jisim karbon dioksida yang boleh dielakkan.

Malah, katanya, hasrat itu menepati aspirasi TNB untuk menjadi pembekal terunggul solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa.

Selaras usaha merealisasikan aspirasi itu, TNB akan menganjurkan Persidangan Peralihan Tenaga pada 28-29 Ogos yang bertemakan “Accelerating a Responsible Energy Transition” di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pelbagai bentuk penyelesaian inovatif serta kerjasama merentas sektor ekonomi akan dibincang dan diketengahkan sebagai tekad bersama dalam mendepani peralihan tenaga secara berkesan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)