Tol percuma, diskaun tol hingga 50 peratus sempena Aidilfitri – PM
KUALA LUMPUR,. Kerajaan bersetuju memberikan tol percuma dan diskaun tol kepada Keluarga Malaysia bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, beliau berkata pemberian tol percuma itu adalah pada Sabtu dan Ahad ini, serta 7 dan 8 Mei depan untuk perjalanan pulang semula ke kediaman masing-masing.
Beliau berkata pemberian tol percuma itu melibatkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menghubungkan jaringan Lebuhraya Utara-Selatan dan Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
“Pemberian tol percuma itu akan bermula pada 12 tengah malam pada 30 April sehingga 11.59 malam pada 1 Mei kepada semua kelas kenderaan manakala untuk perjalanan pada 7 Mei, ia bermula 12 tengah malam hingga 11.59 malam pada 8 Mei,” katanya.
Ismail Sabri berkata selain itu, tawaran diskaun tol antara 30 dan 50 peratus juga akan diberikan kepada lebuh raya yang lain pada tarikh dan masa yang sama kepada semua kelas kenderaan.
Perdana Menteri berkata langkah berkenaan diambil, selepas sesi rundingan bersama 30 syarikat konsesi lebuh raya diadakan.
Beliau berkata secara keseluruhan, tol percuma dan diskaun melibatkan 30 lebuh raya di seluruh negara dengan jumlah diskaun dinikmati pengguna adalah sebanyak RM77.11 juta.
“Jumlah manfaat ini akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan syarikat-syarikat konsesi,” katanya.
Tol percuma melibatkan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Laluan Kedua Malaysia Singapura (LINKEDUA), Jambatan Pulau Pinang (JPP), Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 serta Lebuhraya KL-Karak (KLK).
Lebuh raya menawarkan diskaun 50 peratus pula adalah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Cheras-Kajang (Grandsaga), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-KL (AKLEH), Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).
Sementara, lebuh raya yang menawarkan diskaun 30 peratus adalah Projek Pengurusan Air Banjir Dan Terowong (SMART), Lebuhraya Koridor Guthrie (GUTHRIE), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA).
Turut menawarkan diskaun 30 peratus adalah Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK), Jambatan Sultan Abdul Halim Muad’zam Shah (JPP2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik KL- Barat (SPRINT), Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (GRAND SEPADU), Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) dan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).
Ismail Sabri dalam pada itu berharap pemberian tol percuma dan diskaun tol tersebut akan memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri pada tahun ini.
“Keputusan kerajaan ini juga mengambil kira impak pandemik kepada sumber pendapatan sebahagian besar Keluarga Malaysia sebelum ini dan bagi mengurangkan bebanan pengguna lebuh raya terutamanya golongan berpendapatan rendah.
“Pada masa sama, saya berharap kita sebagai Keluarga Malaysia dapat bertoleransi dan sentiasa bersabar dengan kehadiran jutaan kenderaan di lebuh raya sepanjang musim perayaan yang bakal tiba. Pandulah dengan cermat dan sentiasa berhati-hati di jalan raya,” katanya.
— BERNAMA