KUALA LUMPUR,. UMNO menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung penangguhan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri Datu
KUALA LUMPUR,. UMNO menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung penangguhan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang menzahirkan rasa sedih atas penangguhan itu berkata UMNO tetap menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda serta mendukung dan mendaulatkan institusi Raja-Raja Melayu.
“Dan, kami merayu agar gunakan seluruh kebijaksanaan dan daulat Tuanku untuk membuat keputusan yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di sini hari ini.
Terdahulu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-63 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya hari ini, yang menyaksikan Sultan Ibrahim turut berkenan membebaskan 65 banduan.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung perkara itu.
“Tetapi seperti yang telah kita nyatakan dalam kenyataan sebelum ini, kita perlu menghormati apa jua keputusan Yang di-Pertuan Agong kerana ia adalah hak prerogatif Seri Paduka Baginda di bawah Perlembagaan,” katanya.
Sementara itu, Asyraf Wajdi dalam kenyataan memaklumkan UMNO berharap permohonan tersebut dapat dipertimbangkan pada mesyuarat akan datang.
“Bagi UMNO, perjuangan mendapatkan keadilan buat Datuk Seri Mohd Najib bukanlah suatu usaha untuk mencabar institusi atau proses undang-undang.
“Sebaliknya, UMNO akan terus menggunakan segala ruang yang sah di sisi Perlembagaan dan undang-undang bagi memastikan hak beliau untuk mendapatkan pertimbangan yang adil dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya terus bertenang, menghormati institusi Raja-Raja Melayu dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh menjejaskan proses yang sedang berjalan.
–BERNAMA

