
USM Hospital universiti pertama tawar khidmat rehabilitasi robotik di Malaysia
KOTA BHARU,. Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) merupakan hospital universiti pertama yang menawarkan Perkhidmatan Rehabilitasi Robotik di Malaysia kepada pesakit yang lumpuh untuk kembali pulih.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, inisiatif perkhidmatan berkenaan hasil kerjasama rakan industri bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam memberikan perkhidmatan perawatan rehabilitasi terbaik kepada masyarakat.
Katanya, Hospital USM dipilih sebagai lokasi untuk mengembangkan program rehabilitasi perubatan berteknologi tinggi (Cybernyc Treatment) memandangkan rehabilitasi merupakan antara bidang yang dipelopori oleh pihaknya.
“Untuk merealisasikan impian ini USM telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Perkeso pada 4 Mac lalu sebelum mula menerima pesakit pada 8 Sept lepas yang kini sudah mencecah 18 pesakit dengan dibantu lima anggota rehabilitasi Hospital USM.
“Bagi fasa pertama, Perkeso telah membekalkan enam unit Robot Suit Hybrid Assistive Limb (HAL) exoskeleton yang dibangunkan oleh Pusat Penyelidik Cybernics Universiti Tsukuba, Jepun. Teknologi itu menggabungkan kepakaran bidang kemanusiaan dan sains neuro dan ia akan ditambah oleh Perkeso dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perkhidmatan Rehabilitasi Robotik di Hospital USM Kubang Kerian di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, Pengarah Hospital USM, Prof Datuk Dr Ahmad Sukari Halim dan Pengarah Perkeso Kelantan Nora Yaacob.
Sementara itu, Mohammed Azman berkata kerjasama dalam mewujudkan perkhidmatan Rehabilitasi HAL di Hospital USM itu merupakan antara hasil komitmen dan usaha Perkeso dalam usaha membantu Orang Berinsurans Perkeso di Kelantan dan negeri di pantai timur yang mengalami kecederaan, kemalangan atau kekurangan daya fizikal untuk kembali bekerja dan berdikari dalam menjalani kehidupan harian.
Katanya, dalam mencapai hasrat tersebut, Perkeso sentiasa mengenal pasti rakan strategik khususnya Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Malaysia seperti USM untuk berkongsi kepakaran bagi memperluaskan lagi perkhidmatan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan rehabilitasi yang disediakan.
“Ini adalah situasi menang-menang, kalau dari segi universiti mungkin teknologi dan juga maklumat boleh dijadikan fakta untuk kajian manakala dari sudut Perkeso pula kita memang memerlukan perkhidmatan ini untuk membantu pencarum kita yang mengalami kehilangan upaya, keilatan atau kemalangan untuk mereka kembali bekerja.
“Malah, menerusi program rehabilitasi Perkeso di Pusat Rehabilitasi Perkeso Melaka telah berjaya merawat lebih 2,500 pekerja sejak tahun 2014 hingga 2017 menerusi program Return To Work dan kami berharap lebih ramai pencarum yang mengalami hilang upaya akan kembali pulih dan bekerja,” katanya.
— BERNAMA