Yatim sertai pemilihan negeri

Yatim sertai pemilihan negeri

KOTA KINABALU: Atlet lasak kebangsaan Sabah, Yatim Zainal Abidin akan menyertai pemilihan duathlon Sabah minggu ini. Pemilihan melibatkan acara larian 10km-berbasikal 40km-larian 5km itu dijadualkan berlangsung di Kompleks Sukan Kota Kinabalu selama dua hari iaitu pada Khamis dan Sabtu.

Acara pada Khamis melibatkan larian 10km dan ia akan ditamatkan dengan berbasikal 40km dan larian 5km pada Sabtu.

Acara anjuran Persatuan Triathlon Sabah itu dikatakan medan bagi pemilihan atlet Sabah ke pemilihan kebangsaan untuk skuad triathlon dan duathlon ke Sukan SEA, Vietnam penghujung tahun ini.

Pemilihan kebangsaan itu dijadualkan berlangsung di Putrajaya pada 26-27 Jun.

Zainal bagaimanapun bukan mahu mengintai tempat ke Sukan SEA sebaliknya menjadikan pilihan Sabah itu sebagai pemanas badan bagi menghadapi kejohanan triathlon dunia, Challenge Family’s The Championship yang akan berlangsung di Samorin, Slovakia pada 29 Ogos 2021.

“Ia (Pemilihan Sabah) akan menjadi acara pemanas badan buat saya kerana perlumbaan seperti inilah yang tidak ada dalam persiapan saya.

“Walaupun jaraknya tidak sama (seperti acara The Championship), sekurang-kurangnya ia hampir sama dengan perlumbaan triathlon dan saya sangat perlukannya kerana tidak ada perlumbaan sepanjang persiapan saya sejak tahun lalu disebabkan krisis COVID-19,” kata Yatim ketika dihubungi semalam.

Yatim berkata, persiapan dan perkembangan prestasinya berada di landasan yang baik.

“Saya berlatih lima hari seminggu termasuk menjalani latihan di altitud tinggi. Baru-baru ini saya berbasikal dari Manggatal ke Gunung Alab dan menamatkan jarak sekitar 68km di bawah empat jam.

“Saya akan berlatih di altitud tinggi lagi sebelum The Championship, mungkin satu atau dua kali sebulan. Saya tidak akan terlalu paksakan diri saya bagi mengelakkan risiko mengalami kecederaan terutama The Championship sudah tidak lama lagi,” katanya.

Yatim akan mengambil bahagian dalam pertandingan kumpulan umur individu kategori 45 tahun ke atas di The Championship yang melibatkan jarak 2km acara renang, berbasikal 90km dan larian 21km.
Yatim berkata, beliau sentiasa berhubung dengan penganjur dan setakat ini tiada perubahan tarikh pertandingan yang sebelum ini telah beberapa kali ditunda disebabkan krisis COVID-19.

Jadual asal The Championship adalah pada 31 Mei tahun lalu tetapi krisis COVID-91 menyebabkannya dua kali ditunda iaitu ke 22-23 Mei 2021 dan terkini 29 Ogos.

“Harap-harap tiada penundaan lagi,” kata Yatim yang kini menanti mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bagi membolehkannya melakukan penerbangan ke luar negara.

oleh : Vitalis G. Bingkasan

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )