Zii Jia cipta kejutan di Terbuka Korea
KUALA LUMPUR,. Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia melakarkan kejutan apabila mengalahkan bekas juara dunia, Viktor Axelson dari Denmark untuk mara ke suku akhir Terbuka Korea di Incheon, Korea Selatan, hari ini.
Pemain berusia 21 tahun itu hanya mengambil masa 35 minit untuk menyingkirkan pemain nombor tujuh dunia itu dengan keputusan straight set 21-18, 21-16.
Ia merupakan kemenangan pertama Zii Jia selepas kalah 21-12, 22-20 kepada pemain itu pada suku akhir Malaysia Masters 2019, Januari lalu.
“Saya amat gembira untuk layak ke suku akhir buat kali kesembilan dalam kerjaya saya dan juga memenangi ke atas idola saya…ini amat bermakna bagi diri saya.
“Bagaimanapun, Axelsen belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan belakang dan kaki. Sudah pasti saya menampilkan aksi terbaik saya dan berharap beliau akan kembali semula dengan lebih mantap lagi,” katanya ketika dihubungi.
Bzagaimanapun, Zii Jia akan berdepan dengan tugas getir apabila membuat perhitungan dengan pemain nombor satu dunia, Kento Momota dari Jepun, esok.
Pertemuan dengan bekas juara dunia dua kali itu merupakan kali keempat selepas kalah dalam tiga perlawanan sebelum ini dengan kali terakhir pada Kejohanan Dunia di Basel, Switzerland, bulan lalu.
“Saya belum pernah menang ke atas Momota. Saya tahu ia sukar tetapi tidak mustahil,” katanya.
Sementara itu, hajat perseorangan profesional negara, Liew Daren ke saingan suku akhir disekat oleh pemain India, Parupalli Kashsyap pada pertarungan hampir sejam.
Daren, yang menyingkirkan bekas juara dunia lima kali, Lin Dan dari China, dari kejohanan bernilai US$400,000 (RM1.67 juta) itu semalam, bagaimanapun, memberi tentangan sengit kepada Parupalli sebelum kalah 17-21, 21-11, 21-12.
Dalam pada itu, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shen-Tan Wee Kiong gagal mara ke suku akhir selepas tewas 9-21, 20-22 kepada beregu lelaki nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.
— BERNAMA