
5 gugur keahlian diminta henti drama dipecat
KUALA LUMPUR,. Lima bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang gugur keahliannya sebelum ini perlu menghentikan segala drama kononnya mereka dipecat daripada parti secara tidak adil dan sah.
Ketua BERSATU Bahagian Gua Musang, Datuk Mohd Azizi Abu Naim, berkata pengguguran keahlian mereka dalam parti berkenaan yang dimaklumkan menerusi surat sebelum ini berlaku disebabkan tindakan mereka sendiri.
“Belum pernah terjadi mana-mana negara di dunia ini yang mana Ahli Parlimen kerajaan memohon untuk duduk di kerusi blok pembangkang.
“Siapa yang mengaibkan siapa. Di saat kesukaran rakyat menghadapi pandemik COVID-19 wajarkah YB-YB (Yang Berhormat) Ahli Parlimen berkira-kira soal kerusi. Cukuplah, hentikanlah drama yang tidak disukai rakyat marhaen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tidak timbul istilah pecat-memecat kepada lima pemimpin yang menjadi perdebatan ketika ini.
“Kami dengan sekeras-kerasnya mengutuk sebarang usaha untuk memburukkan presiden kami yang sudah berusaha keras untuk menyatukan setiap peringkat pimpinan parti.
“Berilah peluang kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus mentadbir negara bersama Perikatan Nasional (PN) demi kemaslahatan orang Melayu yang tersiksa sepanjang 22 bulan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) bertuankan DAP,” katanya.
Mohd Azizi berkata, Muhyiddin berjaya menyatukan parti-parti Melayu terbesar yang tidak mungkin berjaya dilakukan pemimpin lain.
“Maruah kaum Melayu terbela di bawah kepimpinan beliau. Presiden kami sudah melaksanakan amanah yang terpuji sebagai khalifah di negara kita yang dikenali sebagai negara Islam dan Melayu,” katanya.
Katanya, perlembagaan parti adalah adalah ‘rujukan wajib’ kepada semua ahli dalam penyelesaian sesuatu isu atau pertikaian.
–BH