
64 peratus rakyat Jepun mahu terus bekerja selepas had umur persaraan: tinjauan
TOKYO,. Tinjauan baru-baru ini menunjukkan 64 peratus rakyat Jepun bersedia bekerja melebihi had usia persaraan, disebabkan masalah kewangan, lapor agensi berita Xinhua memetik media tempatan pada Isnin.
Tinjauan dalam talian dijalankan Nippon Life Insurance Co. itu melibatkan 7,543 peserta terdiri pemegang polisi, sebanyak 38.7 peratus mengatakan mahu terus bekerja di tempat sama manakala 25.3 peratus lagi berhasrat menukar pekerjaan lain.
Jepun menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja yang serius disebabkan populasi semakin tua manakala kadar kelahiran menurun. Semakan semula undang-undang yang akan dilaksanakan April tahun depan bertujuan untuk mendorong perniagaan membenarkan kakitangan mereka bekerja sehingga usia 70 tahun.
Mengenai persoalan sampai bila mahu terus bekerja, 40 peratus mengatakan sehingga usia 65 dan 69 tahun dan 31.2 peratus memilih umur 60 dan 64 tahun. Kira-kira 11.7 peratus pula bersedia untuk bekerja sehingga melebihi usia 75 tahun.
Tinjauan itu mendapati mereka yang lebih berusia memilih untuk meneruskan pekerjaan mereka sekarang.
Mengenai persiapan untuk kehidupan selepas bersara, kebanyakan peserta mengatakan mereka mahu berjimat purata 30.33 juta yen (AS$ 290.000).
Sementara itu, 62.1 peratus peserta tidak pasti berapa banyak wang persaraan dan faedah pencen yang akan mereka dapat.
— BERNAMA