
Kumpulan hak asasi saman Trump
WASHINGTON,. Kumpulan hak asasi manusia Amerika Syarikat (AS) semalam memfailkan saman terhadap Presiden Donald Trump atas tindakan pasukan keselamatan yang melepaskan semburan lada dan bom asap bagi menyuraikan rusuhan aman di luar Rumah Putih.
Pegawai penguat kuasa memaksa penunjuk perasaan bersurai sebelum Trump dilihat berjalan ke gereja berdekatan bagi merakamkan gambar pada Isnin lalu yang menggegarkan AS dengan rusuhan ganas membantah kekejaman polis.
Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika (ACLU) dan kumpulan hak asasi lain menuduh Presiden dan pegawai atasan melanggar hak perlembagaan kempen Black Lives Matters dan penunjuk perasaan individu.
“Polis melakukan serangan terancang dan tidak berprovokasi ke arah ribuan penunjuk perasaan dan melepaskan beberapa bahan kimia berbahaya, peluru getah dan bunyi meriam, kata ACLU.
Gereja Episcopal St John berada di seberang jalan dari Taman Lafayette Park menghadap Rumah Putih, menjadi tumpuan tunjuk perasaan di Washington.
Gereja itu dicemari dengan grafiti dan didapati rosak dalam kebakaran ketika demonstrasi malam Ahad lalu.
Trump pula bergambar dengan kitab Bible di luar gereja itu dan berjanji menghantar ribuan tentera bersenjata untuk menghentikan rusuhan.
Ribuan penunjuk perasaan memenuhi jalan-jalan seluruh AS dalam beberapa hari ini sebagai menyuarakan kemarahan atas pembunuhan lelaki Afrika-Amerika, George Floyd oleh polis Minnesota.
“Presiden secara terang-terangan melakukan serangan jenayah terhadap penunjuk perasaan berikutan tidak bersetuju dengan pandangan mereka kerana melanggar asas perlembagaan negara,” kata Scott Michelman, pengarah undang-undang ACLU.
Semalam, Peguam Negara, Bill Barr, mempertahankan pasukan keselamatan dan mengatakan tindakan menyuraikan rusuhan tiada kena mengena untuk memberi laluan kepada Trump berjalan ke gereja. – AFP