NAGOYA,. Malaysia tidak melihat kedudukan di belakang Thailand pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sebagai petunjuk awal persaingan Sukan SEA 2027, seba
NAGOYA,. Malaysia tidak melihat kedudukan di belakang Thailand pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sebagai petunjuk awal persaingan Sukan SEA 2027, sebaliknya yakin strategi pemilihan acara dan kekuatan dalam sukan tertentu, mampu menjadi formula untuk merebut gelaran juara keseluruhan.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata persaingan di Sukan SEA mempunyai corak persaingan berbeza berbanding Sukan Asia, khususnya dari segi jenis acara yang dipertandingkan dan peluang meraih pingat emas.
“Untuk Sukan SEA, tahap pertandingan berbeza. Sukan-sukan yang kita umumkan untuk dipertandingkan juga berbeza.
“Sukan-sukan yang boleh menyumbang pingat emas untuk negara kita juga berbeza dengan Sukan SEA pada peringkat Sukan Asia,” katanya pada sidang media rumusan pencapaian kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di sini, hari ini.
Jefri berkata pendekatan itu sudah diberi perhatian menerusi persiapan awal program Sukan SEA, dengan persatuan sukan digesa meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan dalam menentukan acara yang disertai.
“Jadi kita mempunyai strategi tertentu untuk memastikan kita muncul sebagai juara keseluruhan. Ini tekad kita dan daripada awal tahun ini apabila kita buat program Sukan SEA dengan fasa pertama, kita telah nyatakan kepada semua persatuan, kita perlu meletakkan negara sebagai keutamaan.
“Apa-apa strategi kita buat dari segi jenis acara dan sebagainya, perlulah menjurus kepada kita akan mendapat pingat emas,” katanya.
Jefri berkata prestasi Thailand di Aichi-Nagoya turut memperlihatkan kekuatan mereka dalam beberapa sukan tradisi, terutama olahraga, namun perkara itu tidak semestinya menggambarkan kedudukan kedua-dua negara apabila beraksi di Sukan SEA nanti.
Thailand menamatkan saingan Aichi-Nagoya di tempat ketujuh dengan 18 emas, 13 perak dan 21 gangsa, manakala Malaysia mengumpul sembilan emas, tujuh perak dan 16 gangsa untuk menduduki tangga ke-11.
“Olahraga Thailand memang sentiasa memenangi pingat bagi sukan-sukan ataupun acara-acara Olimpik mereka, dari dulu lagi. Mereka telah pun melakukan banyak persiapan untuk menghadapi temasya Sukan Asia.
“Pada peringkat kita, kita akan beri tumpuan kepada sukan-sukan kita yang kuat. Thailand memang sukan-sukan tradisi mereka yang menyumbangkan pingat emas seperti angkat berat dan olahraga. Jadi kita perlu lebih banyak perbincangan dengan pihak persatuan, Institut Sukan Negara (ISN) untuk memperbaiki lagi sistem sedia ada,” katanya.
Dalam pada itu, Jefri menyifatkan sepak takraw sebagai antara sandaran utama Malaysia dalam usaha mengumpul emas pada Sukan SEA 2027, berdasarkan perkembangan positif sukan itu pada peringkat antarabangsa.
“Sukan sepak takraw, sedia maklum, kebangkitan sukan sepak takraw telah meletakkan kita di peta dunia dan kita sebenarnya berada sama ada setara dengan Thailand ataupun lebih baik daripada Thailand.
“Jadi kita rasakan sukan sepak takraw, satu sukan yang perlu kita terus beri bantuan dan sokongan supaya mereka menjadi ‘bank’ untuk pingat emas pada sukan-sukan akan datang,” katanya.
Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 dan menyasarkan untuk muncul juara keseluruhan buat kali pertama sejak edisi Kuala Lumpur 2017.
— BERNAMA

