SONGKHLA,. Rakyat Malaysia yang merancang bernikah di Selatan Thailand diingatkan melakukan perjalanan ke negara itu melalui laluan sah dengan dokumen
SONGKHLA,. Rakyat Malaysia yang merancang bernikah di Selatan Thailand diingatkan melakukan perjalanan ke negara itu melalui laluan sah dengan dokumen perjalanan yang sah, untuk memastikan surat pengesahan dapat dikeluarkan pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata ini kerana, sekiranya mereka memasuki negara itu secara tidak sah seperti melalui lorong tikus, ia menyebabkan pihak konsulat tidak dapat mengeluarkan surat pengesahan berikutan pelanggaran undang-undang imigresen Thailand.
Beliau berkata surat pengesahan konsulat itu penting untuk prosedur mahkamah bagi urusan pendaftaran pernikahan berkenaan di Malaysia.
“Tak banyak tetapi masih ada (pasangan Malaysia), sebab ada yang datang kepada kami untuk minta pengesahan, kami tak boleh nak beri (pengesahan) sebab prinsipnya bila mereka datang ke Thailand, melakukan kesalahan imigresen, pihak konsulat sukar untuk membuat pengesahan tersebut.
“Kami perlu menghormati undang-undang di negara Thailand ini, jadi itu saya minta rakyat Malaysia faham perkara tersebut,” katanya semasa kunjungan hormat delegasi Persatuan Wartawan Perlis (PWP) ke atas beliau di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla di sini, Jumaat lepas (2 Okt).
Dalam pada itu, Ahmad Fahmi berkata terdapat kira-kira 70 rakyat Malaysia berada dalam tahanan penjara di kawasan Selatan Thailand setakat ini, dengan paling ramai di Narathiwat.
Beliau berkata daripada jumlah itu, majoriti tahanan tersebut berkaitan kes dadah.
— BERNAMA

