
20,000 penonton dibenar masuk saksi Terbuka Perancis
PARIS,. Tenis Terbuka Perancis pada tahun ini akan membenarkan kehadiran 20,000 penonton sehari biarpun berdepan ancaman penularan pandemik coronavirus, umum penganjur kejohanan semalam.
Persekutuan Tenis Perancis (FTT) juga berkata sehingga 10,000 penonton akan turut dibenarkan menyaksikan perlawanan akhir.
Kejohanan Grand Slam atas tanah liat ini dijadual berlangsung pada 27 September hingga 11 Oktober ini.
“Bilangan penonton yang akan dibenarkan masuk ke stadium adalah antara 50 hingga 60 peratus daripada kapasiti biasa. Ia bagi membolehkan kami memastikan penjarakan dipatuhi,” kata FTT dalam dalam satu kenyataan.
“Bagaimanapun jika situasi memerlukan standard kebersihan dipertingkatkan sehingga memaksa pengurangan bilangan penonton, penganjur kejohanan akan memulangkan semula wang bagi tiket yang sudah dijual,”.
Terbuka Amerika Syarikat bakal menjadi kejohanan Grand Slam pertama dianjurkan selepas perintah berkurung dilaksanakan susulan penularan pandemik coronavirus iaitu pada 24 Ogos ini. Bagaimanapun ia akan diadakan di gelanggang tertutup.
Kejohanan Wimbledon terpaksa dibatalkan sebelum ini, iaitu pertama kali sejak Perang Dunia kedua susulan pandemik coronavirus.
– AFP