PRESIDEN PERANCIS BERI AMARAN SABTU DEPAN KEKAL “BERISIKO TINGGI” DENGAN PROTES BERTERUSAN

HomeFeaturedBerita Semasa

PRESIDEN PERANCIS BERI AMARAN SABTU DEPAN KEKAL “BERISIKO TINGGI” DENGAN PROTES BERTERUSAN

ISTANBUL,. Presiden Perancis Emmanuel Macron memberi amaran pada Isnin bahawa Sabtu depan kekal sebagai “hari berisiko tinggi” di tengah-tengah bantah

Rapid Bus laksana fasa akhir migrasi aplikasi Rapid On-Demand
Indonesia padam kebakaran seluas 31 hektar di luar enam wilayah keutamaan
HASIL PENYELIDIKAN PERLU DIMANFAATKAN UNTUK PENYELESAIAN CABARAN SEBENAR – RAJA MUDA PERLIS

ISTANBUL,. Presiden Perancis Emmanuel Macron memberi amaran pada Isnin bahawa Sabtu depan kekal sebagai “hari berisiko tinggi” di tengah-tengah bantahan yang berterusan, dengan kesatuan sekerja menyeru agar mobilisasi di seluruh negara digerakkan pada 31 Okt, lapor Anadolu Ajansi.

“Kita tahu bahawa Sabtu depan masih merupakan hari berisiko tinggi. Kita sedia maklum bahawa 5 Nov akan menyaksikan hari mobilisasi nasional yang melibatkan semua kesatuan sekerja, selain hari-hari Sabtu yang mendatang,” kata Macron kepada pemberita semasa lawatannya ke Marseille.

Beliau menegaskan bahawa corak bantahan yang berulang pada setiap Sabtu bukanlah sesuatu yang “tidak dapat dielakkan”, sambil menekankan pihak berkuasa akan terus mengatur langkah dan melindungi harta benda, orang awam serta kawasan pusat bandar.

Macron berkata beliau telah meminta kerajaan memberi respons terhadap “tuntutan sah yang menjadi punca gerakan sosial ini,” sambil memaklumkan Perdana Menteri Sebastien Lecornu dijadual bertemu wakil komuniti sekolah menengah pada hari berkenaan.

Beliau seterusnya memberi bayangan mengenai “pengumuman penting dan kemajuan yang bertujuan membawa perubahan serta melancarkan inisiatif dalam tempoh terdekat” susulan pertemuan terancang Lecornu itu.

“Kita akan melakukan perkara sama bersama kesatuan sekerja serta organisasi majikan, dan semua ini diharap dapat kembali normal secara beransur-ansur dengan penuh rasa hormat,” kata Macron.

Beliau turut mengakui bahawa jumlah pasukan keselamatan tidak mencukupi semasa bantahan pada 17 Okt lepas dan kejadian berkenaan “tidak dijangka lebih awal.”

“Kami tidak menjangka kumpulan berhaluan kiri tegar akan bergerak seawal pagi dalam jumlah yang begitu ramai, dengan cara yang luar biasa. (…) Kami juga tidak menjangkakan bahawa selain penglibatan kumpulan berkenaan, elemen jenayah turut menyusup masuk. Akibatnya, anggota polis tidak dikerahkan dalam jumlah yang mencukupi,” katanya.

Macron menegaskan pihak berkuasa “kini mengekalkan ketenteraman Republik dan undang-undang awam tanpa mengisytiharkan darurat,” sekali gus menolak kritikan kerana tidak menguatkuasakan langkah itu serta mengulangi bahawa pihak berkuasa sentiasa “tegas dan teliti.”

Beliau selanjutnya menyatakan bahawa media sosial memainkan peranan dalam mobilisasi berkenaan, sambil menambah “media sosial merosakkan demokrasi kita kerana ia menyemarakkan polarisasi, selain mencetuskan kejutan dan kelumpuhan apabila berdepan adegan keganasan.”

“Platform itu digunakan, terutamanya pada 17 Okt, untuk membawa golongan muda dan warga emas ke lokasi berlakunya perbuatan jenayah, serangan serta penjarahan, kerana keganasan di media sosial dipaparkan seolah-olah ia bukan sesuatu yang nyata,” katanya.

— BERNAMA-ANADOLU