PUTRAJAYA,. Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menyeru setiap kementerian menganjurkan program utama atau “flagship” masing-masing bagi menyem
PUTRAJAYA,. Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menyeru setiap kementerian menganjurkan program utama atau “flagship” masing-masing bagi menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun depan, sekali gus meraikan 70 tahun kemerdekaan negara.
Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk HKHM berkata perancangan awal perlu dimulakan segera, termasuk melalui penyelarasan antara ketua setiausaha kementerian bagi memastikan sambutan bersejarah itu diraikan secara lebih istimewa.
“Ia mestilah sesuatu yang benar-benar istimewa, 70 tahun (Malaysia merdeka). Maka banyak daripada perancangan mesti dimulakan.
“Kita minta bantuan Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar) selaraskan dalam kalangan ketua setiausaha (setiap kementerian),” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup dan Apresiasi HKHM 2026 di sini hari ini.
Fahmi berkata sepanjang empat tahun menerajui Jawatankuasa Induk HKHM, beliau menyaksikan bagaimana sambutan itu terus memainkan peranan penting dalam membentuk identiti negara bangsa serta menyatukan rakyat menerusi suasana kemeriahan dan kebanggaan bersama.
“Sambutan HKHM sebenarnya memainkan peranan yang sangat penting, yakni kita memberikan makna kemerdekaan, wujudnya negara bangsa dan pembentukan Malaysia, dan kita sama-sama mewujudkan satu suasana kemeriahan, kebanggaan, keceriaan yang kita raikan bersama,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan HKHM 2026 yang mengangkat tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, termasuk 10,819 peserta yang mengambil bahagian dalam perbarisan dan perarakan membabitkan 76 kontinjen serta 22 kumpulan pancaragam.
Beliau berkata sambutan tahun ini turut berjaya menarik sumbangan berjumlah RM51.5 juta daripada 147 rakan strategik, kebanyakannya dalam bentuk barangan dan perkhidmatan.
Selain itu, HKHM 2026 menarik lebih 100,000 pengunjung secara fizikal, manakala siaran langsung sambutan berkenaan ditonton jutaan orang.
Pada majlis itu, Fahmi menyampaikan sijil penghargaan kepada 22 jawatankuasa yang dilantik bagi menjayakan sambutan peringkat nasional tersebut yang turut berjaya memperkukuh jaringan kerjasama strategik dan ukhuwah merentas kementerian, jabatan, agensi kerajaan serta badan sukarela.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin hadir mewakili Jawatankuasa Teks Ucapan untuk menerima penghargaan selaku pengerusinya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Shamsul Azri, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah serta ketua-ketua jabatan dan pengurusan tertinggi kementerian, agensi dan penaja yang terlibat dalam sambutan itu.
Menyingkap cabaran di sebalik penganjuran HKHM 2026, Fahmi berkata jawatankuasa induk berdepan tekanan pada hari-hari terakhir sebelum sambutan Hari Kebangsaan susulan keadaan jerebu yang semakin buruk.
Beliau berkata isu jerebu dibincangkan dalam dua mesyuarat Jemaah Menteri, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut membangkitkan kemungkinan sambutan diteruskan, ditangguhkan atau dipindahkan ke lokasi lain.
“Keputusannya adalah kekal. Kekal di Dataran Putrajaya,” katanya ketika berkongsi keputusan mengekalkan lokasi sambutan itu meskipun keadaan jerebu ketika latihan raptai semakin buruk.
Bagaimanapun, Fahmi berkata pihak penganjur bersyukur kerana keadaan cuaca pada pagi sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya dan sambutan Hari Malaysia di Kuching pada 16 Sept lepas dalam keadaan baik.
— BERNAMA

