
COVID-19: Kes jangkitan global hampiri 22.3 juta
WASHINGTON,. Kes positif COVID-19 di peringkat global kini menghampiri angka 22.3 juta dengan 784,082 kematian.
Menurut data dikeluarkan universiti penyelidikan yang berpangkalan di Baltimore, Maryland, Johns Hopkins University, lebih 200,000 kes baharu COVID-19 direkodkan dalam 24 jam.
Amerika Syarikat (AS) terus berada di carta pertama sebagai negara yang terjejas teruk dengan merekodkan lebih 5.5 juta kes dan 172,965 kematian.
Negara kedua terjejas iaitu Brazil mencatatkan lebih 3.4 juta kes dan 109,888 kematian.
India berada di tempat ketiga dengan lebih 2.7 juta kes positif, namun keempat dari segi jumlah kematian dengan 52,889 kes.
Jangkitan COVID-19 di Russia menghampiri angka satu juta, diikuti Afrika Selatan (596,060), Peru (549,321), Mexico (531,239) dan Colombia (489,122).
Negara yang merekodkan angka di bawah 400,000 kes jangkitan adalah Chile (390,037), Sepanyol (370,867), Iran (350,279), United Kingdom (322,994), Argentina (312,659) dan Arab Saudi (302,686).
Negara lain masih mencatatkan kes jangkitan di bawah 300,000 kes. – Agensi