Rafizi Ramli kembali menyertai gelanggang politik bertanding Timbalan Presiden PKR

Rafizi Ramli kembali menyertai gelanggang politik bertanding Timbalan Presiden PKR

KUALA LUMPUR — Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli telah membuat keputusan untuk kembali menyertai gelanggang politik dengan mengesahkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan akan datang.

Dalam satu kenyataan yang dinaikkan melalui media sosial Rafizi Ramli, beliau nyatakan bahawa keputusan Pilihanraya Negeri Johor (PRN Johor) baru-baru ini mengesahkan bahawa PKR dan Pakatan Harapan telah menjadi parti ketiga selepas Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

“Keputusan itu perlu diterima dengan terbuka dan tawaduk oleh semua rakyat Malaysia yang mendukung idealisme politik progresif yang dibawa PKR dan Pakatan Harapan.

“Ini adalah kekalahan keempat berturut-turut dalam beberapa siri pilihanraya negeri. Setiap kali PKR dan Pakatan Harapan mengalami kekalahan, selain dari menyalahkan sesama sendiri, sehingga kini belum nampak strategi yang berlainan untuk menambat kembali hati rakyat.

“Satu-satunya strategi yang diulang-ulang ialah pendekatan “khemah besar” untuk menyatukan semua parti yang bersaing dengan UMNO/Barisan Nasional. Terbaru, saya dimaklumkan Majlis Presiden Pakatan Harapan bersetuju mengambil pendekatan untuk berbincang dengan Perikatan Nasional mengenai kemungkinan bekerjasama dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

“Walaupun tidak ada tanda-tanda pun pendekatan “khemah besar” ini mendatangkan sebarang hasil setakat ini, ia kekal menjadi satu-satunya jalan yang difikirkan pimpinan Pakatan Harapan seolah-olah keseluruhan pimpinan Pakatan Harapan sudah mati akal untuk mendapatkan kembali keyakinan rakyat.” kata Rafizi Ramli.

Tambah beliau, sejak 2019, beliau telah menyuarakan pandangan yang tidak bersetuju dengan kegilaan membentuk gabungan (dengan sesiapa sahaja tanpa mengira sentimen rakyat) demi untuk mendapat kuasa.

“Saya mengambil tanggungjawab bahawa saya tidak boleh berada di dalam kepimpinan yang strategi dan keputusannya saya tidak bersetuju.

“Jika saya kekal, maka saya perlu menyokong keputusan itu. Jika saya tidak menyokong, saya tidak boleh kekal menjadi sebahagian dari pimpinan. Ini adalah asas utama prinsip pertanggungjawaban (“accountability”).

“Sebab itu, saya sangat gembira untuk kembali ke kehidupan sebagai rakyat biasa dan memberi ruang sepenuhnya kepada pimpinan PKR dan Pakatan Harapan memikat kembali hati rakyat untuk memegang tampuk pentadbiran negara.

“Selepas keputusan PRN Johor, saya menyedari bahawa KEADILAN dan Pakatan Harapan telah ditolak rakyat hingga jatuh menjadi gabungan ketiga selepas UMNO/Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

“Pada pandangan saya, dengan perkembangan-perkembangan terbaru, politik progresif pelbagai bangsa sedang berada di dalam bahaya jika PKR dan Pakatan Harapan terus menjadi parti ketiga kerana gagal memikat pengundi atas pagar.” tambah beliau.

Pemilihan parti PKR 2022 akan diadakan pada Mei 13 hingga 18.

— Ram P

Sumber gambar – Rafizi Ramli Facebook

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )