Indeks nilai seunit eksport, import Malaysia meningkat 1.6 peratus, 0.3 peratus pada Julai 2022

Indeks nilai seunit eksport, import Malaysia meningkat 1.6 peratus, 0.3 peratus pada Julai 2022

KUALA LUMPUR,. Indeks nilai seunit eksport dan import Malaysia, masing-masing meningkat 1.6 peratus dan 0.3 peratus pada Julai 2022 berbanding bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Katanya peningkatan indeks nilai seunit eksport disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+6.9 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+0.8 peratus) serta pelbagai barang keluaran kilang (+0.4 peratus).

Indeks nilai seunit import meningkat disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+1.9 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+0.6 peratus) serta pelbagai barang keluaran kilang (+0.4 peratus).

“Sementara itu, indeks volum eksport menurun 9.7 peratus pada bulan yang sama, disumbangkan oleh penurunan indeks pelbagai barang keluaran kilang (-15.5 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-10.0 peratus) serta minyak galian (-9.6 peratus).

“Pada masa yang sama, indeks volum eksport pelarasan bermusim turut menurun 15.1 peratus pada Julai 2022 daripada 190.9 mata kepada 162.1 mata,” katanya.

Berdasarkan perbandingan tahunan, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport masing-masing berkembang 20.6 peratus dan 14.4 peratus.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, indeks volum import merekodkan penurunan 4.8 peratus pada Julai 2022 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kejatuhan indeks barang-barang keluaran kilang (-13.8 peratus), bahan kimia (-7.1 peratus) serta alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (- 3.6 peratus).

Selain itu, indeks volum import pelarasan bermusim turut menurun 10.5 peratus daripada 219.0 mata kepada 195.9 mata.

“Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing berkembang 12.9 peratus dan 25.7 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, katanya terma perdagangan Malaysia meningkat 1.3 peratus bulan ke bulan kepada 112.2 mata pada Julai 2022, didorong oleh kenaikan indeks minyak galian (+5.0 peratus), minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran (+2.8 peratus) dan bahan kimia (+0.5 peratus).

Prestasi tahun ke tahun terma perdagangan Malaysia kekal positif dengan kenaikan 6.8 peratus daripada 105.0 mata pada Julai tahun lepas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )