Tangani isu minyak masak, Salahuddin bertemu pemain industri

Tangani isu minyak masak, Salahuddin bertemu pemain industri

PUTRAJAYA — Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) Datuk Seri Salahuddin Bin Ayub telah mengadakan sesi libat urus dengan pemain-pemain industri minyak masak dan wakil-wakil Persatuan Pengilang Minyak Masak Malaysia untuk tangani isu minyak di negara ini.

Sesi libat urus ini diadakan bertujuan untuk Menteri mengenali dengan lebih dekat pemain industri, memahami permasalahan dan mendapatkan data penting sebelum dasar-dasar serta gerak kerja yang inovatif dapat dibangunkan dalam meningkatkan prestasi industri ini di samping bersama-sama membantu kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat.

“Dalam libat urus ini , MPOB telah membentangkan cadangan berkenaan dengan harga dua peringkat (2-tiered pricing) termasuk polisi dan mekanisma pelaksanaan.

“Saya amat gembira bila pemain industri bersedia menimbangkan pelaksanaan ‘2-tiered pricing’ dan ini akan diperincikan sehingga semua aspek diambil kira.

“Pemain industri telah memberikan input yang positif terhadap impak harga siling bergerak, harga minyak masak bersubsidi dan harga minyak masak terpakai terhadap bekalan di pasaran.

“Cadangan dan input yang diberi sangat berguna dan akan dicerakin dengan lebih terperinci sebelum sesuatu keputusan dan polisi baru dibangunkan supaya situasi menang-menang dapat dihasilkan untuk pengilang, peniaga dan pengguna.” kata Salahuddin.

Tambah beliau, kerajaan sangat prihatin dengan situasi sekarang dan sentiasa komited dalam menangani isu harga dan bekalan minyak.

“KPDNSKH akan terus meningkatkan usaha membantu mengurangkan beban rakyat dan tidak akan teragak-agak untuk menguatkuasakan undang-undang sedia ada di bawah bidang kuasa Kementerian seperti Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB) untuk memastikan isu harga dan bekalan sentiasa terkawal.”

Pemain industri minyak yang hadir pada sesi libat urus ialah Sime Darby, Lam Soon, FFM Marketing, Delima Oil Products, Syarikat Perniagaan Maju, Yee Lee Edible Oils, dan FGV yang mewakili Felda.

Sesi libat urus ini turut dihadiri oleh Datuk Ketua Setiausaha KPDNKSH, Datuk Timbalan Ketua Setiausaha KKPT, pegawai-pegawai kanan KPDNKSH dan MPIC.

— RP/DG

Gambar – Unit Media KPDNSKH

 

 

 

 

 

 

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )