KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini, menjejaki prestasi bercampur-campur Wall Street semalaman susulan pelabur kekal berhati-hati ter
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini, menjejaki prestasi bercampur-campur Wall Street semalaman susulan pelabur kekal berhati-hati terhadap sentimen tidak menentu membabitkan saham berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 8.40 mata kepada 1,732.54 daripada 1,740.94 ketika ditutup semalam, selepas dibuka 3.88 mata lebih rendah pada 1,737.06.
Sentimen pasaran keseluruhan negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 297 berbanding 142, manakala 274 kaunter tidak berubah. Sebanyak 1,977 kaunter tidak diniagakan dan 76 digantung.
Jumlah dagangan mencecah 214.54 juta saham bernilai RM152.35 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng, berkata Wall Street ditutup bercampur-campur apabila saham berkaitan AI tertekan, dengan Nvidia dan Salesforce masing-masing mencatat penurunan walaupun melaporkan keputusan kewangan lebih baik daripada jangkaan.
“Sementara itu, hasil Perbendaharaan AS 10 tahun susut kepada 4.01 peratus,” katanya kepada Bernama.
Mengulas pasaran tempatan, beliau berkata penurunan FBM KLCI semalam membuka ruang kepada aktiviti belian pada harga rendah, terutama jika indeks menghampiri paras 1,730 mata.
“Meskipun sentimen luaran kekal berhati-hati, kami menjangkakan indeks bergerak dalam julat 1,735 hingga 1,745 mata,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut enam sen kepada RM11.94, Public Bank turun lima sen kepada RM4.95 dan CIMB Group merosot 12 sen kepada RM8.34. Tenaga Nasional meningkat 16 sen kepada RM14.34, manakala IHH Healthcare susut tujuh sen kepada RM8.95.
Bagi kaunter paling aktif, MBSB turun 4.5 sen kepada 71.5 sen, Velesto Energy susut setengah sen kepada 30 sen, Bintai Kinden naik satu sen kepada 10.5 sen, Zetrix AI meningkat dua sen kepada 82 sen dan Ambest merosot 1.5 sen kepada 29.5 sen.
Antara kaunter untung utama, Greatech melonjak 23 sen kepada RM2.20, MHC Plantations meningkat 13 sen kepada RM1.76, Kelington naik 13 sen kepada RM5.34, Vitrox menambah 11 sen kepada RM4.63 dan Time dotCom meningkat 11 sen kepada RM6.27.
Kaunter paling rugi termasuk Ayer Holdings yang turun 37 sen kepada RM7.01, Batu Kawan susut 32 sen kepada RM19.38, United Plantations merosot 24 sen kepada RM29.76, Ajinomoto turun 20 sen kepada RM13.60 dan Dufu Technology jatuh 18 sen kepada RM1.58.
Di papan indeks, Indeks FBMT 100 merosot 74.60 mata kepada 12,519.71, Indeks FBM Emas susut 72.18 mata kepada 12,696.42, Indeks FBM 70 turun 34.77 mata kepada 17,663.47, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 46.95 mata kepada 12,264.76 dan Indeks FBM ACE menyusut 20.83 mata kepada 4,743.72.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 156.40 mata kepada 21,309.94, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.26 mata kepada 174.08, Indeks Tenaga susut 4.90 mata kepada 754.56 dan Indeks Perladangan berkurangan 57.84 mata kepada 8,293.71.

