KUALA LUMPUR,. Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) telah mencadangkan agar Skim Pengembara di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) diperl
KUALA LUMPUR,. Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) telah mencadangkan agar Skim Pengembara di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) diperluaskan bagi merangkumi rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, termasuk di Australia, Arab Saudi, Mesir dan Dubai.
Presidennya, Norsyahrin Hamidon, berkata skim tersebut amat penting dalam melindungi pekerja rentas sempadan yang berdepan pelbagai risiko dalam persekitaran kerja harian mereka.
“DPMM juga menyokong pelaksanaan skim ini, yang dijangka memberi perlindungan kepada lebih 400,000 rakyat Malaysia, khususnya mereka yang berulang-alik ke Singapura,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, cadangan itu merupakan antara perkara utama yang dibincangkan dalam mesyuarat baru-baru ini bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.
Perbincangan itu turut merangkumi inisiatif berkaitan program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) bagi pekerja sektor gig, selain usaha memperkukuh perlindungan kepada penggiat ekonomi gig.
Norsyahrin berkata, tumpuan Kementerian Sumber Manusia dalam melaksanakan dasar berimpak tinggi dalam tempoh 100 hari pertama menteri memegang portfolio mencerminkan komitmen kukuh untuk meningkatkan kebajikan pekerja.
Beliau berkata, DPMM bersedia untuk bekerjasama rapat dengan kementerian bagi memastikan setiap inisiatif yang dirancang dilaksanakan dengan berkesan serta memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Skim Pengembara yang diperkenalkan oleh PERKESO bertujuan menyediakan perlindungan sosial kepada pekerja Malaysia yang berulang-alik ke Singapura, dengan pelaksanaannya dijangka bermula pada suku kedua tahun ini.
Sementara itu, Ramanan dilaporkan berkata, kerajaan akan memperkukuh kerjasama strategik dengan DPMM dalam usaha memperkasa tenaga kerja tempatan serta memperluas akses kepada peluang latihan, khususnya bagi komuniti usahawan Melayu.

