Fokus 3 sukan potensi emas

Fokus 3 sukan potensi emas

KUALA LUMPUR,. Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican disaran memberi tumpuan yang lebih terhadap persiapan sukan badminton, basikal trek dan terjun dalam misi meraih pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Bekas Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata, dengan Malaysia dijangka berdepan masalah kewangan yang serius susulan pandemik COVID-19, keutamaan perlu diberikan kepada ketiga-tiga sukan itu yang menjadi prospek menyumbang pingat buat kontinjen negara.

Antara atlet ketiga-tiga sukan itu yang mampu menjadi penyumbang emas ialah Azizulhasni Awang (basikal trek), Pandelela Rinong (terjun) dan Lee Zii Jia (badminton).

Sukan Olimpik Tokyo yang dijadual berlangsung Julai depan ditangguhkan selama setahun dengan temasya terbesar dunia itu akan diadakan pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 susulan pandemik COVID-19.

Kok Chi, berkata tempoh setahun daripada penangguhan itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya terutama bagi memastikan misi emas pertama Olimpik berjaya direalisasikan.

“Persiapan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo sudah dimulakan di bawah Program Podium yang diperkenalkan menteri sebelum ini, Khairy Jamaluddin.

“Jadi, menteri yang baharu (Reezal) tidak perlu melakukan perubahan drastik sebaliknya melakukan penambahbaikan terhadap Program Podium yang kini memasuki fasa akhir.

“Beliau perlu meningkatkan tahap kecekapan program berkenaan dan fokus kepada sukan yang menjadi prospek pingat pada Sukan Olimpik nanti iaitu badminton, basikal trek dan terjun.

“Beliau perlu pantau pelaksanaan program dan peningkatan prestasi atlet bukan saja Malaysia tetapi pencabar dari negara lain,” kata Kok Chi kepada BH Sukan.

Ditanya sama ada penangguhan Sukan Olimpik akan menyaksikan lebih ramai atlet Malaysia layak, Kok Chi, berkata Malaysia perlu mengekalkan objektif utamanya iaitu misi membawa pulang emas pertama.

“Penangguhan Sukan Olimpik akan memberikan lebih banyak masa untuk pemain badminton negara menjadi lebih matang dan meningkatkan prestasi mereka.

“Namun, matlamat utama bukanlah meningkatkan jumlah penyertaan atlet yang layak tetapi memenangi emas pertama Olimpik,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This