MARAN,. Pembangunan luar bandar tidak boleh lagi dilihat dalam kerangka tempatan atau domestik semata-mata, tetapi sebagai sebahagian daripada agenda
MARAN,. Pembangunan luar bandar tidak boleh lagi dilihat dalam kerangka tempatan atau domestik semata-mata, tetapi sebagai sebahagian daripada agenda serantau serta global, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata usahawan desa mesti berani meneroka pasaran lebih besar misalnya ASEAN dan pasaran global halal.
“Peluang di hadapan sangat besar, produk dan jenama desa Malaysia mesti berani masuk menembusi pasaran dunia. Semua ini hanya boleh dilakukan jika kita yakin bahawa jaringan desa tidak boleh terhenti di sempadan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia 2026 di Stadium Bandar Tun Razak di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.
Justeru, Ahmad Zahid berkata beliau mahu Agenda Ekonomi Desa Nasional yang diperkenalkan sebelum ini menjadi pelan tindakan untuk melakar kejayaan baharu pembangunan desa negara.
Di samping itu, beliau memaklumkan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, pelbagai inisiatif baharu untuk memperkukuh ekonomi desa telah diperkenalkan antaranya melalui RisSMart dan IkonDesa bagi membantu produk usahawan memasuki pasaran lebih luas.
“Bagi usahawan desa pula, kita telah melahirkan lebih 7,000 usahawan baharu, mewujudkan 15,000 peluang pekerjaan dan mencatat nilai jualan lebih RM1.77 bilion.
“Kita sedang bergerak daripada pembangunan bersifat fizikal semata-mata kepada pembangunan desa yang lebih menyeluruh, berdaya saing dan bersedia untuk memasuki pasaran masa hadapan,” katanya.
Mengenai pembangunan insan, beliau berkata hampir 500 pelajar Orang Asli telah berjaya memasuki universiti, menjadikannya pencapaian tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah pentadbiran kerajaan.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12, bagi mengukuhkan jaringan infrastruktur luar bandar, hampir 5,000 kilometer jalan telah dinaik taraf.
“Dalam waktu sama, kita telah membekalkan elektrik kepada lebih 7,000 rumah dan menyalurkan bekalan air kepada lebih 10,000 rumah di luar bandar. Malah, hampir 10,000 rumah pula telah dibina dan dibaik pulih, memberi keselesaan kepada hampir 40,000 penduduk desa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata sambutan hari ini merupakan inisiatif untuk memberikan pengiktirafan kepada pemegang taruh pembangunan desa, yang telah menjadi penggerak kepada kemajuan desa dan penyumbang kepada kemakmuran negara.
Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia telah diisytihar oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 6 Sept 2024, dengan menetapkan 6 Julai sebagai tarikh sambutan tahunan bersempena dengan penubuhan Pusat Pembangunan Luar Bandar Bersepadu untuk Asia dan Pasifik.
Sambutan berkenaan telah diadakan buat kali pertama di peringkat global pada 6 Julai 2025, manakala Malaysia menjadi antara negara anggota yang melaksanakan sambutan rasmi mulai 2026.

