Ahli Majlis PBT Melaka dinilai melalui Laporan Penilaian Prestasi Bulanan – Ab Rauf

Ahli Majlis PBT Melaka dinilai melalui Laporan Penilaian Prestasi Bulanan – Ab Rauf

MELAKA,. Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka akan dinilai melalui Laporan Penilaian Prestasi Bulanan (LPNB) bagi memastikan mereka yang dilantik memainkan peranan sewajarnya.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata laporan itu bagi memperkasa perkhidmatan Ahli Majlis yang menjadi penghubung antara kerajaan dalam menyelesaikan segala permasalahan rakyat di bawah bidang kuasa PBT.

“Penilaian Ahli Majlis ini dibuat pada tahun 2024 sehingga 2025 bagi mengukur prestasi melalui indikator yang ditetapkan dan mereka juga boleh digugurkan sekiranya tidak mencapai petunjuk prestasi utama (KPI).

“Ahli Majlis yang mencapai KPI kurang daripada 50 peratus dalam tempoh tiga bulan berturut-turut atau sebanyak tiga kali dalam tempoh enam bulan perkhidmatan, boleh dikenakan tindakan penahanan elaun bulanan dan boleh dicadang untuk ditamatkan perkhidmatan,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini semalam.

“Penilaian ini turut berdasarkan aktiviti harian seperti kehadiran mesyuarat, penganjuran programkebersihan dan aktiviti gotong-royong di kawasan PBT masing-masing,” katanya.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Datuk Bandar, Yang Dipertua, Ahli Majlis dan Ahli Majlis Turut Hadir PBT Melaka. Majlis turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari dan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Mengulas lanjut Ab Rauf berkata amanah dan tanggungjawab sebagai Ahli Majlis amat penting kerana mereka juga ‘duta kecil’ antara PBT yang diwakili oleh anggota masyarakat di kawasan masing-masing.

“Ahli Majlis juga perlu peka dan proaktif dalam melaksanakan dasar-dasar yang diputuskan dan sentiasa turun padang untuk melihat serta berinteraksi dengan keadaan sebenar bagi memahami keperluan penduduk di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata pada majlis itu seramai 13 Ahli Majlis dilantik semula dan 66 orang Ahli Majlis baharu dipilih untuk mewakili kawasan masing-masing.

Datuk Bandar Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman mengetuai angkat sumpah jawatan, diikuti Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Saifuddin Abdul Karim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) masih menunggu kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)