
Ahli Parlimen PH Nyata Sokongan Lulus Pindaan RUU Anti Lompat Parti
KUALA LUMPUR – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memberi komitmen penuh bahawa kesemua Ahli Parlimen dari gabungan itu akan menyatakan sokongan bagi tujuan meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.
Kenyataan Majlis Presiden PH memaklumkan, pimpinan utama PH sudah mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pagi ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung status pembentangan RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan (Anti Lompat Parti) yang dijadualkan pada 11 April 2022.
“Perdana Menteri memberi komitmen bahawa tidak ada perubahan kepada notis mesyuarat persidangan khas Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 11 April 2022 sepertimana sudah diedarkan kepada Ahli Parlimen.
“Majlis Presiden PH memberi komitmen penuh bahawa kesemua Ahli Parlimen PH akan memberi sokongan bagi tujuan meluluskan Pindaan Perlembagaan ini,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Menurut kenyataan itu, Ketua Pembangkang juga sudah membangkitkan isu MySejahtera dimiliki sebuah syarikat negara asing.
“Isu ini perlu diberi penjelasan penuh kepada Dewan Rakyat,” katanya.
-Agensi