Kerajaan kaji turunkan harga kit ujian kendiri COVID-19 akhir tahun ini

KUALA LUMPUR,. Kerajaan sedang mengkaji untuk menurunkan lagi harga Kit Ujian Kendiri COVID-19 menjelang akhir tahun ini bagi membolehkan ia mudah diakses oleh semua orang.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Kesihatan sedang meneliti perkara itu.

“Bagi memperluas usaha pengujian, Kementerian Kesihatan telah mengiktiraf RTK Antigen dan meluluskan beberapa Kit Ujian Kendiri COVID-19 yang boleh dibeli di farmasi di seluruh negara.

“Selain itu, untuk menjadikan Kit Ujian Kendiri boleh diakses semua orang, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Kementerian Kesihatan telah menetapkan harga siling kit ujian ini bawah RM20,” katanya dalam ucapan khas semasa Sidang Kemuncak Pelan Pemulihan Negara yang diadakan secara maya hari ini.

Kerajaan telah menetapkan harga siling runcit bagi Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19 dijual pada harga RM19.90 setiap set manakala RM16 setiap set untuk harga borong, berkuat kuasa 5 Sept.

Tengku Zafrul berkata beberapa langkah baharu juga sedang dalam perancangan untuk dilaksanakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk menubuhkan pusat panggilan khusus untuk menawarkan bantuan segera dalam menangani hal berkaitan COVID-19, selain mengambil kira suntikan penggalak atau program vaksinasi berbilang tahun dalam protokol penjagaan kesihatan awam.

Selain itu, katanya bagi mengesan kehadiran dan penyebaran varian baharu dengan lebih baik, Penjujukan Genom Keseluruhan dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan, manakala teknologi dan data mudah alih dirancang untuk diperluaskan bagi meningkatkan pengesanan kontak.

“Kontak rapat yang berpotensi akan segera dikenal pasti dan dimaklumkan mengenai keperluan mengkuarantin diri mereka sendiri. Kes asimptomatik dan kes yang mempunyai gejala kecil kini tertakluk kepada Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO),” katanya.

Menyedari beberapa kemajuan besar telah dilihat setakat ini di bawah PPN, beliau bagaimanapun mengakui masih banyak yang perlu dilakukan terutama mengukuhkan kapasiti sistem penjagaan kesihatan dan meningkatkan pemulihan orang dan industri.

“Kita belum tahu sepenuhnya bagaimana ekonomi dan cara hidup kita akan berubah, tetapi apa yang boleh kita lakukan adalah untuk memberi tumpuan kepada minda dan tenaga kita untuk muncul daripada krisis ini sebagai sebuah negara dan Keluarga Malaysia yang lebih berdaya tahan,” katanya.

Tengku Zafrul juga melahirkan harapan bahawa PPN dan Belanjawan 2022 akan berfungsi sebagai templat bukan sahaja bagaimana untuk keluar daripada pandemik itu tetapi juga bagaimana untuk mengatasi cabaran lebih mendesak pada masa hadapan.

“Kami akan memanfaatkan data untuk membantu kami menjadi lebih tangkas dan responsif, menekankan semangat keterangkuman, untuk menuju ketahanan yang lebih baik dan kesejahteraan bersama.

“Untuk itu, saya menyeru semua pihak, kerajaan, sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil, untuk menamakan beberapa, untuk bersatu sebagai satu Keluarga Malaysia. Mari kita bersama-sama dan menang bersama,”katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )