KUALA LUMPUR,. Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi permohonan Pas L
KUALA LUMPUR,. Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), tiga tahun lepas.
A. Vanessa Charmaine, 55, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut kesemua pertuduhan, wanita itu didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu Letter of Award, Oil Palm Harvesting, Coconut Upkeeping and other related services for MAB Agriculture-Horticulture Sdn Bhd – Package 2 and 8 KLIA Region (The Contract) bertarikh 21 Mac 2023 bagi permohonan mendapatkan PLKS di JIM cawangan Kuala Lumpur pada 21 Mac dan 12 Jun 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan dan melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali sehingga kes selesai.
Peguam Shahidah Muslimah Roslan yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan atas alasan anak guamnya menanggung suami yang menghidap pelbagai penyakit serta dua anak yang masih bersekolah.
“Seorang daripada anak tertuduh yang berusia 16 tahun mempunyai autisme perlu diberi perhatian khusus dan terapi secara berkala di hospital. Mohon mahkamah juga mempertimbangkan faktor ini,” katanya.
Hakim Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan berserta syarat seperti dimohon pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 29 Okt depan untuk sebutan semula kes.
— BERNAMA

